BANDARAYA MELAKA - Selepas terbiar hampir tiga tahun, usaha kini sedang dijalankan bagi membaik pulih empat blok hotel di Pantai Puteri di sini membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM17 juta.

Sebelum ini, hotel ini beroperasi menggunakan nama Hotel Mutiara sebelum ditukar menjadi Hotel Merak dan akhirnya Hotel Royal Puteri sebelum ia menghentikan operasi pada tahun 2012 kerana difahamkan akibat menanggung hutang.

Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek, Datuk Lim Ban Hong berkata, hotel berkenaan kini diambil alih sebuah syarikat swasta dan sedang dibaik pulih bagi membolehkan ia beroperasi semula.

Menurutnya, fasa pertama proses membaik pulih membabitkan 30 unit dijangka dapat disiapkan menjelang pertengahan November ini manakala fasa kedua membabitkan 68 unit dijangka siap menjelang bulan Februari tahun depan.

Menurutnya, pengusaha baharu hotel berkenaan turut menyasar untuk menyiapkan kerja-kerja baik pulih keseluruhan 214 unit di keempat-empat blok hotel berkenaan menjelang akhir tahun hadapan.

“Di pihak kerajaan negeri, terutama Lembaga Perumahan Melaka, kita akan memberi apa jua bentuk bantuan yang boleh untuk memastikan bangunan ini dapat beroperasi semula kerana lokasinya  yang strategik mampu membantu menarik kunjungan pengunjung.

“Kerajaan negeri juga berharap pihak syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd, Syarikat Air Melaka Bhd serta Telekom Malaysia dapat memberi kelonggaran kepada pengusaha memohon  kemudahan ini kerana difahamkan pengusaha sebelum ini masih berhutang dengan mereka,” katanya kepada media selepas meninjau bangunan hotel berkenaan semalam.

Hotel yang terletak di tepi Pantai Puteri itu terdiri daripada unit apartmen tiga, dua dan satu bilik, di mana lebih separuh daripadanya dimiliki orang perseorangan yang diserahkan kepada pengusaha untuk diuruskan sebagai hotel.

Menurut Ban Hong, usaha membaik pulih bangunan ini akan turut membantu menyelesaikan beberapa masalah yang sebelum ini pernah

disuarakan penduduk berhampiran, termasuk masalah kecurian serta bangunan terbiar ini digunakan sebagai sarang penagih dadah.

Selain itu, katanya, penduduk berhampiran turut gusar akan keselamatan kanak-kanak yang dikatakan sering bermain di kawasan bangunan berkenaan.

“Semua masalah ini, termasuk masalah kolam renang menjadi tempat pembiakan nyamuk, akan dapat diselesaikan apabila kerja membaik pulih ini selesai,” katanya.