DIET karbohidrat rendah (DKR) merupakan program diet popular terutama kalangan individu yang berhasrat menurunkan berat badan, paras gula dan tekanan darah tinggi. Diet Atkins merupakan program DKR yang diperkenalkan oleh ahli kardiologi, Dr Robert Atkin melalui bukunya Dr. Atkin’s Diet Revolution pada 1972.

Beliau menulis buku kedua berjudul Dr. Atkins’s New Diet Revolution dengan penambahbaikan selepas 20 tahun. Beliau menekankan pengambilan makanan protein dan lemak pada paras tinggi manakala paras karbohidrat rendah. Diet Atkins dipercayai membantu mencegah atau meredakan pelbagai masalah kesihatan serius termasuk sindrom metabolik (metabolic sindrom).

Fasa pertama program Diet Atkins yang berlangsung selama dua minggu bermula dengan meninggalkan makanan berkanji seperti kentang, makanan berasaskan gandum, buah-buahan dan sebahagian besar sayur-sayuran.

Paras makanan karbohidrat rendah yang ditekankan oleh Diet Atkins bertujuan menurunkan paras insulin. Keadaan tersebut menyebabkan tubuh membakar lemak tersimpan yang akan membantu penurunan berat badan.


Berlaku ketosis

Penerangan dari sudut lain: kekurangan glukos mendorong berlakunya ketosis di mana tubuh akan mengurai lemak tersimpan lalu menyebabkan ketona terkumpul dalam tubuh. Kebanyakan diet penurunan berat badan – tidak semestinya DKR - termasuk
Diet Atkins dipercayai dapat membantu mengurangkan paras kolesterol dan paras gula darah sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.

Ramai pengamal perubatan alternatif percaya DKR termasuk Atkins Diet berpotensi membantu menyelesaikan dua masalah kesihatan utama di dunia iaitu obesiti dan diabetes jenis 2. Kepercayaan tersebut adalah berdasarkan beberapa kajian sains termasuk tiga yang berikut.

Kajian pertama berjudul Low-carbohydrate nutrition and metabolism terbit dalam jurnal The American Journal of Clinical Nutrition (2007). Kajian kedua berjudul Systematic review of randomized controlled trials of low-carbohydrate vs. low-fat/low-calorie diets in the management of obesity and its comorbidities terbit dalam jurnal Endocrinology (Jan 2009).

Kajian ketiga pula berjudul Systematic review and meta-analysis of clinical trials of the effects of low carbohydrate diets on cardiovascular risk factors terbit dalam jurnal yang sama (Nov 2012)

Dua saintis penyelidik yang menumpukan pelbagai penyelidikan ke atas DKR dan merawat beribu pesakit dengan DKR, telah menulis buku The Art and Science of Low-Carbohydrate Living. Dr Jeff S Volek merupakan pakar diet berdaftar manakala Dr Stephen D Phinney pula doktor perubatan moden.

Dalam buku tersebut mereka menyatakan terdapat pelbagai halangan dan kekeliruan yang dihadapi oleh individu yang cuba mengamalkan DKR yang boleh menimbulkan kesan sampingan buruk dan hasil sub-optima.

Mengurangkan makanan berkarbohidrat tidak memadai untuk mencapai ketosis sempurna (full-blown ketosis). Seseorang yang masih belum mengalami hasil daripada amalan DKR mungkin melakukan satu atau beberapa kesilapan seperti pencerahan berikut ini.

Setakat ini DKR dikatakan masih tiada maksud yang jelas. Sesetengah pakar percaya makanan karbohidrat rendah 100-150 gram setiap hari sebagai memenuhi kriteria DKR di mana kuantiti tersebut adalah jauh lebih rendah daripada kebiasaan diet masyarakat Barat. Makanan tidak terproses seperti bijirin tidak ceruh diambil pada julat tersebut dipercayai akan menunjukkan hasil positif. Bagaimanapun, paras tersebut dikatakan berlebihan jika seseorang benar-benar ingin mengalami ketosis dengan ketona yang mencukupi sebagai sumber tenaga untuk otak.

Uji cuba dengan sifat sabar diperlukan untuk menentukan sama ada paras di atas menghasilkan hasil optimum. Pengamatan daripada pengalaman terhadap hasil tindak balas tubuh amat penting. Paling mudah ialah mengambil karbohidrat (setelah ditolak serat) kurang daripada 50 gram setiap hari.

Sayur-sayuran dan buah beri pada jumlah kecil boleh membantu untuk mencapai paras tersebut. Ketosis sempurna hanya boleh didorong oleh amalan DKR apabila pengambilan makanan berkarbohidrat adalah kurang dari 50 gram sehari.

Makanan berprotein yang diambil secara berlebihan menghalang tubuh daripada mengalami ketosis. Ia kerana tubuh akan mengubah protein kepada glukos melalui proses dikenali sebagai glukoneogenesis.

Protein merupakan nutrien makro penting. Ia membantu seseorang menjadi kenyang dan mempertingkat pembakaran lemak berbanding dengan nutrien makro lain iaitu karbohidrat dan lemak.

Secara umum, pengambilan protein pada paras tinggi sepatutnya membantu mempercepat mengurangkan berat badan. Namun, menjalani DKR dengan mengambil makanan berasaskan haiwan boleh menyebabkan seseorang mengambil protein secara
berlebihan. Asid amino daripada protein berlebihan akan diubah kepada glukos melalui proses glukoneogenesis.

Menurut Dr Volek dan Dr Phinney, ‘rumusan ideal’ untuk DKR seharusnya terdiri daripada makanan karbohidrat rendah, lemak tinggi dan protein sederhana. Julat yang sesuai ialah 1.5 – 2.0 gram bagi setiap kg berat badan.


Lemak tinggi

Sesetengah orang berpendapat makanan karbohidrat rendah seharusnya disertai dengan makanan lemak rendah. Terlalu bimbang dengan lemak menyebabkan mereka yang mengamalkan diet dengan makanan karbohidrat yang terlalu rendah mengalami kekurangan tenaga.

Cara untuk mendapatkan tenaga ialah dengan menambah peratusan makanan berlemak ke dalam diet. Dr Voley dan Dr Phinney mencadangkan 70 peratus daripada jumlah kalori adalah makanan berlemak.

Sesetengah pakar selesa dengan 50-60 peratus. Lemak sihat ialah lemak tepu (minyak kelapa dara, lepa susu tulen, telur) mono tak tepu, omega-3 dan meminimumkan lemak sayuran.

Punca utama individu yang mengambil DKR mengalami simptom seperti sakit kepala, mudah pitam, lesu dan sembelit ialah kerana kekurangan natrium. Hakikatnya ialah DKR menurunkan paras insulin.

Paras insulin rendah menyebabkan paras natrium rendah. Cara mengatasi kekurangan natrium ialah mengambil air garam atau menambah garam dalam masakan/makanan. Garam gunung Himalaya dipercayai terbaik.

Cekal dan sabar amat perlu ketika menjalani DKR. Rasa tidak selesa untuk beberapa hari pertama adalah normal kerana tubuh menyesuaikan diri dengan sumber tenaga alternatif iaitu lemak sama ada dari tubuh atau makanan.

Penulis berpandangan DKR termasuk Diet Atkins tidak harus dijadikan amalan diet sepanjang hayat. Mengubah peratusan kalori nutrien makro menurut kesesuaian metabolisme tubuh dari masa ke masa adalah langkah bijak.

Diet Atkins boleh diamalkan untuk merawat masalah kesihatan tertentu tetapi perlu pengubahsuaian. Makanan tinggi protein sumber haiwan seperti lembu diambil secara berlebihan dan berpanjangan dipercayai meningkatkan paras homocysteine, asid urik dan CRP. Buku penulis berjudul Diabetes Jenis 2 (Alaf 21) menekankan DKR.