SEPANG - Usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak Mac tahun lalu tidak akan dihentikan sehingga kawasan pencarian meliputi 120,000 kilometer persegi, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
 
Beliau menjelaskan misi mencari pesawat malang itu kini menghampiri kawasan seluas 60,000 km persegi di Lautan Hindi dan setelah selesai, keluasan pencarian akan ditambah kepada 60,000 km persegi lagi.
 
"Dalam mesyuarat membabitkan Australia, Malaysia dan China, kami buat keputusan apabila habis pencarian 60,000 km persegi, tak dapat cari lagi pesawat, kami akan besarkan lagi kawasan pencarian sehingga 60,000 km persegi.
 
"Sekarang kami dah menghampiri penghujung 60,000 kami akan tambah dan akan teruskan mencari pesawat itu dan kami tidak akan berhenti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Malindo WiFi, Malindo Mobile dan Malindomag di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media Australia yang memetik Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) sebagai berkata kawasan pencarian MH370 tidak akan diperluas selepas 60,000 km persegi.
 
Menjelas lanjut mengenai kenyataan JACC itu Tiong Lai berkata :"Itu adalah tidak benar, mungkin berlaku salah faham".
 
Menurut Tiong Lai selepas kawasan pencarian mencapai keluasan 120,000 km persegi kelak dan tiada sebarang petunjuk baharu mengenai MH370 ditemui, maka Malaysia, China dan Australia akan merujuk kepada pakar untuk tindakan selanjutnya.
 
Pesawat Boeing 777 MH370 itu yang membawa 239 orang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal pagi 8 Mac 2014. - Bernama