KUALA LUMPUR - Seorang kasanova, yang memperdaya 14 wanita, terpaksa menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nur A'minahtul Mardhiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Yawad Mokminin Taib, 34, selepas dia mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan iaitu menipu, mencuri dan menggadai barang kemas milik wanita-wanita itu termasuk seorang guru dan pensyarah kolej, sejak dua tahun lepas.

Mahkamah memerintahkan Yawad Mokminin menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Jun lepas.
Mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan denda sebanyak RM39,000 bagi semua pertuduhan dan jika gagal membayar denda itu, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 58 bulan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nur A'minahtul Mardiah berkata mahkamah mengambil kira modus operandi tertuduh yang berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial, mengadakan pertemuan dan membuat janji manis untuk berkahwin sebelum mengambil barang berharga mangsa.
"Mahkamah terpaksa mengakui bahawa mangsa tidak sepatutnya mempercayai perkenalan melalui laman sosial...mangsa mengenali kamu melalui alam maya tetapi tindakan kamu memperdaya mereka harus diberi pengajaran," katanya.
Bagi enam pertuduhan menipu, Yawad Mokminin, yang merupakan ahli jawatankuasa surau taman perumahannya, didakwa memperdaya enam wanita berusia antara 29 dan 36 tahun itu untuk membeli barang kemas bagi urusan perkahwinan sehinga mendorong kesemua wanita berkenaan menyerahkan sejumlah wang tunai RM19,500 kepadanya.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda.

Bapa kepada tiga anak itu juga didakwa terhadap lapan pertuduhan mencuri pelbagai barang milik lapan mangsa termasuk barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan beg tangan mangsa melibatkan sejumlah RM83,486.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Yawad Mokminin turut didakwa terhadap dua pertuduhan melupuskan harta iaitu dengan menggadai tiga utas rantai tangan dan seutas rantai leher bernilai RM23,000 milik dua daripada 14 mangsa itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kompleks beli-belah Mid Valley, Suria KLCC, Sabak Bernam dan sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini antara 7 Jun 2013 hingga 2 Julai lepas.

Mengikut fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh melalui laman sosial sebelum tertuduh mengajak mangsa bertemu atau berjanji untuk berkahwin dengan mangsa.

Ketika bertemu, tertuduh akan meminta mangsa menyerahkan barang berharga kepadanya dan memaklumkan akan menghubungi keluarganya untuk bertemu mangsa sebelum dia menghilangkan diri.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah mengambil kira faktor seolah-olah tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa yang kesemuanya wanita dan memohon hukuman yang sewajarnya.

Peguam Fauzan Hushin, yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan perlu menanggung isteri, tiga anak berusia dua, lima dan tujuh tahun, serta ibu bapa yang tinggal di kampung. - Bernama