Sunday 23 August 2015


JOHOR BAHRU - Seorang wanita dan ibunya maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas dan dirempuh sebuah lori di Kilometer 38, Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam, dekat Kulaijaya, hari ini.
 
Kemalangan kira-kira pukul 4.20 petang itu menyebabkan wanita berkenaan, Pong Nuo Xin, 27 serta ibunya, Liu Geok Thoo, 59, meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Razak Md Said ketika dihubungi berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Pong, yang memandu kereta Toyota Estima dari arah bandar Kulaijaya ke Pekan Kelapa Sawit, gagal mengawal kenderaannya.
 
"Kereta itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang tiang tanda arah jalan sebelum memasuki lorong di sebelah kanan dalam keadaan melintang," katanya.
 
Razak berkata pada waktu sama, lori jenis Hino seberat tiga tan dari arah bertentangan merempuh sisi kiri MPV tersebut.
 
Beliau berkata akibat rempuhan itu, Pong dan Liu tersepit di tempat duduk hadapan kereta berkenaan dan meninggal dunia kerana cedera parah di kepala.
 
Katanya, pemandu lori itu dan kelindannya, yang kedua-duanya berumur 30an, hanya cedera ringan. 
 
Mayat kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya untuk bedah siasat dan pemandu lori serta kelindannya turut dirawat di hospital sama.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama
 

No comments:

Post a Comment