Saturday, 29 August 2015

'Tiada tempat untuk Tun Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO'

'Tiada tempat untuk Tun Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO'
TAJUDDIN: Adalah lebih baik jika Dr Mahathir tidak dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke Perhimpunan Agung UMNO pada hujung tahun ini hanya akan mengundang persepsi negatif di kalangan ahli parti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata adalah lebih baik jika mantan perdana menteri itu tidak dijemput ke perhimpunan itu selepas hadir ke perhimpunan Bersih 4 di ibu negara pada Sabtu.

"Elok beliau tidak perlu hadir ke perhimpunan itu nanti. Kehadiran beliau nanti dikhuatiri memberi persepsi negatif dalam kalangan ahli parti.

"Perjuangan sudah berbeza dan beliau sanggup bersekongkol dengan pembangkang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.

Pada Sabtu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengejutkan banyak pihak apabila kedua-duanya hadir pada perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka.

Kehadiran mereka disambut peserta perhimpunan yang turut tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersama.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah UMNO perlu melucutkan keanggotaan atau mengharamkan terus kehadiran Dr Mahathir dalam mana-mana program anjuran parti, ini kata Tajuddin: "Tidaklah perlu sampai hendak mengharamkan beliau. Ini bukan kerja kita... mengharam atau menghalalkan seseorang."

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dijangka akan diadakan pada 9 September depan.

Beberapa portal berita melaporkan status keahlian Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam parti akan ditentukan pada hari tersebut.

Pada Mei 2008, Dr Mahathir pernah keluar daripada UMNO selepas tidak berpuas hati dengan kepimpinan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun, pada April 2009, Dr Mahathir mengumumkan menyertai semula UMNO selepas Abdullah meletak jawatan sebagai perdana menteri dan digantikan dengan Datuk Seri Najib Razak.

No comments:

Post a Comment