Ringgit terus mencatatkan kejatuhan dalam dagangan awal hari ini.
Ia mencecah RM4.24 kepada AS$1, kali pertama sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lalu.
Dalam pembukaan dagangan awal, ringgit dicatatkan jatuh 1.69 peratus berbanding dolar.
Menurut peniaga, bank asing terus melepaskan ringgit yang berdepan tekanan akibat kekurangan petunjuk domestik, harga minyak rendah dan kerisauan dengan ekonomi China.
Ringgit turut didagangkan melepasi RM3 kepada $1 Singapura pada sekitar 11 pagi.
Sementara itu, Hong Leong Bank dalam laporan penyelidikan mingguannya berkata ringgit akan terus didominasi prestasi dolar minggu ini.
Bank berkenaan turut mengunjurkan ringgit akan didagangkan mencecah paras RM4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat minggu ini.
Sementara itu, Standard Chartered Bank dalam laporan terkininya juga menjangkakan ringgit akan terus menyusut.
Standard Chartered menjangka prestasi ringgit berbanding dolar akan dipacu oleh tiga faktor utama dalam jangka pendek.
Ini termasuk impak kenaikan kadar faedah rizab persekutuan, potensi pengaliran keluar portfolio dan respons Bank Negara Malaysia mengenai penyusutan mata wang.
Dari segi aliran, bank menjangkakan berlaku pengaliran keluar portfolio bon dan pasaran ekuiti yang menjejaskan mata wang.
No comments:
Post a Comment