GEMENCHEH - Pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Taha, di sini, cedera parah selepas kaki kanannya digilis tayar belakang sebuah lori membawa muatan pasir di Kilometer 25.5 Jalan Tampin-Gemas berhampiran lampu isyarat Pekan Gemencheh, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Abdullah, 14, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
Sinar Harian difahamkan, kaki kanan mangsa terpaksa dipotong di HTAN susulan kecederaan teruk pada bahagian tulang kaki dan saluran darah.
Menurut orang awam, Nazri Mazlan, 28, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Ulu Rokan ke Pekan Gemencheh untuk bertemu rakan.
"Sebaik sampai di persimpangan lampu isyarat, saya lihat ada seorang lelaki berada di tengah jalan dan sedang kutip serpihan komponen motosikal.
"Bagaimanapun saya terkejut apabila melihat kaki seorang remaja lelaki berada di bawah tayar belakang kanan lori. Ketika itu muka mangsa pucat dan sedang menahan kesakitan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.
Nazri berkata, susulan keadaan berkenaan, pemandu lori terpaksa mengambil keputusan mengundurkan lori bagi membolehkan mangsa dibawa ke hospital.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori muatan pasir dari arah Gemas dan motosikal dari arah Tampin.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba motosikal mangsa bergesel dengan sebuah motosikal lain yang nombor pendaftarannya masih belum diketahui sebelum mangsa hilang kawalan.
"Akibatnya, motosikal mangsa terbabas dan dan kaki mangsa termasuk ke bawah tayar belakang kanan lori.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
No comments:
Post a Comment