GEORGETOWN - Selepas diserang angin ahmar sehingga menyebabkan lumpuh separuh badan, seorang pengasuh bayi di sini bukan sahaja kehilangan pekerjaan malah hampir enam bulan lamanya tidak dapat berjalan.

Wan Zaharah Nor, 52, berkata, selama enam bulan itu jugalah dia hanya mampu terbaring di atas tilam sahaja kerana tidak mampu membeli kerusi roda.

“Saya tidak mampu membeli kerusi roda kerana saya sudah tiada pendapatan dan suami pula hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Tiga anak saya pula masih bersekolah, jadi semuanya membatasi untuk saya membeli kerusi roda,” katanya.

Wan Zaharah mengakui akibat tiadanya kerusi roda itu juga menyebabkan dia tidak mampu mendapatkan rawatan yang lebih baik.

Namun kini Wan Zaharah yang berasal dari Air Itam itu sudah mampu tersenyum selepas menerima bantuan kerusi roda dari Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

“Dengan adanya kerusi roda sekarang saya tidak lagi penat berada di atas tilam sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, Zairil berkata, kerusi roda berkenaan ditaja oleh penduduk setempat.