SHAH ALAM - Polis Selangor hari ini menafikan khabar angin bahawa van putih menggunakan plat negara jiran sedang berkeliaran dan menculik kanak-kanak sebagai mangsa organ di kawasan Selangor terutamanya daerah Sabak Bernam.

Melalui laman Facebooknya, Polis Selangor menegaskan maklumat yang tersebar luas dalam media sosial itu sama sekali tidak benar dan palsu semata-mata.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai dinasihat tidak mempercayai khabar angin itu yang dikatakan cuba menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

Penafian Polis Selangor itu turut dikongsi Polis Diraja Malaysia melalui laman Facebooknya.