PARIT BUNTAR - Sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan baja pertanian musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Lima, di sini petang semalam.

Mangsa, Ng Ah Ba, 64, berkata, sejam sebelum kejadian berlaku, dia singgah di rumah pusaka berusia lebih 60 tahun itu untuk mengambil barang sebelum kembali ke Parit Buntar.

Menurutnya, kira-kira jam 4.10 petang, dia menerima panggilan rakan di Pekan Batu Lima memaklumkan stor berkenaan terbakar.

"Saya segera ke rumah berkenaan dan mendapati sudah hangus bersama sebahagian besar baja yang disimpan kira-kira 40 minit kemudian.

“Saya terkilan kejadian berlaku sebelum saya sempat menyerahkan baja itu kepada pembeli dan mengalami kerugian kira-kira RM30,000,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Mohd Nor Amin Abdul Mubin berkata, pihaknya menerima maklumat awam kira-kira jam 4.15 petang dan tiba di lokasi kejadian dalam tempoh lima minit kemudian.

Beliau berkata, sewaktu tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati hampir 80 peratus bangunan itu musnah.

“Masalah cuaca panas dan angin kencang turut menyebabkan rumah mangsa terbakar dengan cepat, lebih-lebih lagi rumah mangsa dikategorikan bangunan Gred C iaitu keseluruhan kayu.

“Kami dibantu Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau dan Bomba Sukarela Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Parit Buntar berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh setengah jam,” katanya.

Mohd Nor berkata, tiada kecederaan dilaporkan susulan tiada orang berada dalam bangunan sewaktu kejadian.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan tindakan pantas pihak bomba memadamkan kebakaran berjaya mengelakkan api daripada merebak ke bangunan berhampiran.