NIBONG TEBAL - Pihak polis mengenal pasti seorang warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang pembekal ayam ditemui mati berlumuran darah dengan kesan kecederaan di kepalanya dalam stor premis pemprosesan ayam milik mangsa di Jalan Changkat di sini semalam.
  
Lelaki berusia 20-an itu merupakan pekerja kepada mangsa dan telah bekerja di premis pemprosesan ayam berkenaan sejak beberapa tahun lepas.
  
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritenden Shafien Mamat berkata, usaha mengesan lelaki berkenaan sedang giat dijalankan.
  
"Kita telah pergi ke beberapa lokasi yang selalu suspek berada, bagaimanapun gagal menemuinya tetapi polis percaya dia masih berada di sekitar daerah ini.
  
"Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki berkenaan atau kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya kepada Bernama.
  
Mayat Tan Chye Sian, 41, ditemui abangnya yang datang ke premis berkenaan pada pukul 10 pagi selepas lelaki itu tidak menjawab panggilan telefonnya. - Bernama