Saturday 28 June 2014

KULIM- Hasrat seorang lelaki berusia 19 tahun untuk ke tempat kerja di sebuah pusat membeli belah, di Sungai Kob, tidak kesampaian apabila mangsa terlibat dengan kemalangan di Batu 12 kira-kira jam 1.15 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 cuba memotong kereta jenis Honda di hadapan bagaimanapun bergesel di bahagian belakang kereta berkenaan.

"Mangsa kemudiannya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan sebuah kereta Unit MPV.

"Remaja ini kemudiannya tercampak di tengah jalan. Kereta yang berada di belakang motosikal mangsa tidak dapat mengelak lalu menggilis mangsa," katanya.

Abdullah berkata, mangsa yang cedera di bahagian kaki dan badan maut di tempat kejadian.

"Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melibatkan kemalangan maut,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga kini lebih enam kemalangan maut dilaporkan berlaku di mana penunggang motosikal merupakan penyumbang terbesar indeks kemalangan maut.

“Kenderaan di sekitar Kulim akan bertambah kerana ramai dalam kalangan mereka yang tinggal jauh akan balik ke kampung untuk berpuasa.

"Saya menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.

No comments:

Post a Comment