KUANTAN - Mayat murid lelaki tahun tiga yang dikhuatiri lemas semasa mandi bersama keluarganya di Jeram Besu, Dong dekat Raub Khamis lepas ditemui tengah hari tadi.
  
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang Anuar Hassan berkata, mayat Mohamad Zul Hassan Mohamad Norlan, 9, ditemui 1.30 petang oleh pasukan penyelamat.
  
"Mayat murid yang hilang sejak dua hari lepas itu ditemui di Lubuk Bidara dekat situ kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
  
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat," katanya kepada Bernama hari ini.
  
Pada Khamis lepas, mangsa yang berasal dari Teluk Panglima Garang, Selangor bersama keluarganya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan telah singgah di situ untuk mandi.
  
Mangsa tiba-tiba didapati hilang semasa sedang mandi di situ kira-kira jam 11 pagi sebelum anggota keluarga cuba mencarinya dan membuat laporan polis di Balai Polis Dong.  - Bernama