SHAH ALAM - Seorang saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan hari ini di mahkamah tinggi berhubung kes bunuh staf Ambank Subang Sentral, Norazita Abu Talib, 37, tidak sedarkan diri di kandang saksi dipercayai diserang sawan.

Bekas penyelia stor senjata Syarikat Kawalan Prima, Mohamad Rahli Mohamed, 37, tiba-tiba sahaja menggelupur di kerusinya ketika peguam bela, S Selvi mengemukakan soal balas terhadapnya.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir meminta bantuan polis mahkamah yang sedang bertugas untuk menenangkannya sebelum menangguhkan prosiding tersebut selama 30 minit.

Mohd Rahli dibawa keluar dari mahkamah dengan kerusi roda dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dengan ambulans.

Sebelum itu, lelaki tersebut hadir untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-16 membuat pengecaman terhadap nombor siri serta senjata api yang digunakan oleh tertuduh, La Ode Ardi Rasila, 37, pada hari kejadian.

"Berdasarkan nombor 'carry and use' (CNU), senjata api jenis pump gun ini tersebut telah digunakan oleh Ardi," katanya.

Mohamad Rahli kemudiannya mengesahkan La Ode yang berada di kandang tertuduh sebagai Ardi yang dikenalinya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila, 37, dituduh membunuh Norazita antara jam 6 petang hingga  jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

La Ode turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Prosiding hari kelima itu  berlangsung di hadapan Hakim Akhtar ditangguhkan dan disambung semula pada 9 Julai ini.