RANTAU PANJANG - Belumpun reda dengan isu perpindahan peniaga dari pasar lama Rantau Panjang ke pasar baharu Rantau Panjang, penduduk dikejutkan dengan kematian seorang warga emas ketika membeli belah jam 3 petang, kelmarin.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati, warga emas dikenali sebagai Raja Hussin Raja Ali, 65, itu rebah dipercayai serangan penyakit jantung.

Menurutnya, mangsa dipercayai membeli belah bersama ahli keluarga lain dengan melalui laluan pejalan kaki bersebelahan pasar lama Rantau Panjang.

“Setibanya dekat bank, mangsa yang berasal dari Bukit Perakti Pasir Puteh rebah seterusnya dikerumuni ahli keluarga dan penduduk.

“Mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas dan pihak hospital mengesahkan mangsa mati mengejut. Tiada sebarang unsur jenayah seperti didakwa penduduk,” katanya yang turut menasihati penduduk agar tidak mensensasikan sebarang berita tanpa mengetahui fakta sebenar.

Dalam pada itu, Haliludin berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku atau kes ugutan di pasar lama Rantau Panjang.

Menurutnya, pihak polis sentiasa mengawal keadaan di sini, namun percaya peniaga di sini amat berdisiplin.

“Mereka akur berpindah pada hari notis terakhir dikeluarkan, malah kerja meroboh berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

“Mungkin ada pihak sengaja mahu memburukkan imej peniaga di Rantau Panjang dengan menyebarkan berita palsu,” katanya.