PUCHONG – Tiga kenderaan masing-masing masih dilaporkan hilang sejak awal tahun dan tiga tahun lalu berjaya ditemui selepas polis menahan empat lelaki di dua lokasi berasingan, kelmarin.

Turut ditemui bersama empat suspek itu, sebuah komputer riba, pencetak, cop tertera perkataan ‘lucut hak’; ‘Puspakom’; ‘Jabatan Kastam Di Raja Malaysia’ dan satu lagi tertera perkataan Jabatan Pengangkutan Jalan (Bahagian Perlesenan Kenderaan).

Kesemua barangan tersebut dipercayai digunakan suspek bagi memalsukan dokumen untuk tujuan pendaftaran kenderaan perlucutan hak JPJ.

Sumber berkata, dua suspek pertama ditahan Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kinrara dalam sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna perak di depan sebuah kedai serbaneka di Taman Puncak Kinrara.

Gerak-geri kedua-duanya didapati mencurigakan dalam kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Siasatan lanjut membawa polis ke Bandar Sunway dan  berjaya menahan dua lagi rakan suspek yang menginap dalam sebuah hotel. Sebuah kereta jenis Mitsubishi Storm yang dilaporkan hilang di Bukit Jalil awal tahun ini berjaya ditemui semula.

Hasil siasatan lanjut, Ketua Polis Balai Kinrara, Inspektor Hailmi Zil Azam Nordin kemudian dipandu arah oleh seorang suspek  menemui sebuah kereta jenis Perodua Viva dilaporkan hilang awal tahun lalu.

“Suspek mengaku mencuri kenderaan itu dan meletakkannya di tepi jalan di Taman Mahkota Cheras Batu 9,” katanya.

Kesemua suspek dan kenderaan dirampas di bawa ke Balai Polis Kinrara untuk tindakan  lanjut. Kes disiasat bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.