MELBOURNE - AUTRALIA. Perth membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan kedatangan beramai-ramai anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang lebih dua minggu lepas.

Australian Associated Press (AAP) melaporkan Perth kini bersiap sedia untuk menerima kedatangan keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370, yang penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas Malaysia Airlines menyatakan kerajaan Australia akan memberi visa kepada mereka sebaik sahaja disahkan serpihan daripada MH370 dijumpai.

Malaysia Airlines akan membantu anggota keluarga terbabit untuk ke Australia.

Sementara itu, Sammy Yap, presiden Persatuan Chung-Wah Perth berkata masyarakat Cina yang ramai jumlahnya di bandar raya itu bersedia membantu keluarga terbabit dari segi fizikal, emosi dan rohani.

"Kami sentiasa bersedia membantu dengan apa jua cara yang boleh.  

"Bandaraya Perth akan cuba mengurangkan penderitaan mereka dan membantu mereka menerima hakikat tentang apa yang berlaku," kata Yap kepada AAP.  

Kerajaan persekutuan dan Australia Barat dipercayai telah membincangkan langkah untuk mewujudkan sebuah pusat bagi menyambut kedatangan keluarga yang kehilangan orang yang mereka sayangi dalam tragedi itu dari China dan tempat lain.

Kuil Buddha di sekitar bandar raya itu juga dikatakan bersedia untuk memberi bantuan dari segi rohani kepada mereka yang terbabit, kata Yap.

Kaunselor Perth Lily Chen, yang juga presiden Persekutuan Wanita Cina Australia, berkata sokongan dari segi emosi juga akan disediakan.

"Kami akan cuba beri ketenangan kepada mereka kerana langkah mengurangkan tekanan mental, kesedihan dan perasaan terkejut mereka amat perlu diredakan," kata Chen seperti yang dipetik AAP.  

Bayaran visa juga dijangka dikecualikan bagi keluarga penumpang pesawat malang itu, yang 152 daripada mereka adalah warga China, manakala Menteri Pertahanan David Johnston berkata isu logistik berhubung kedatangan keluarga terbabit sedang diberi perhatian.

"PM begitu tegas dengan pendiriannya untuk membantu Malaysia dalam menangani keperluan keluarga penumpang dan anak kapal pesawat terbabit," kata Johnston.

Sementara itu, operasi mencari serpihan pesawat itu oleh pasukan dari pelbagai negara, yang diselaraskan di pangkalan Tentera Udara Diraja Australia Pearce di utara bandar raya ini, dihentikan sementara pada Selasa kerana cuaca buruk di Lautan Hindi. - Bernama