SHAH ALAM – Pemuda Pas mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) memberi penjelasan mengenai arahan peletakkan jawatan oleh Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel), baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat juga mahu KPM memberikan alasan kukuh apabila kontrak Mohamad Redzuan sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) juga tidak diperbaharui.

“Adakah tindakan itu dibuat kerana tekanan politik setelah banyak kajian beliau menyebelahi rakyat dan bukannya kepada pihak pemerintah Umno-BN?

“Apakah kerana kebebasan dan keterbukaan yang diamalkan oleh beliau menyebabkan beliau tidak disenangi oleh pihak tertentu yang takutkan kebenaran?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu memetik laporan sebuah portal, Mohammad Redzuan diarahkan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Umcedel oleh KPM.

Dalam pada itu, Suhaizan juga turut menyatakan kekesalannya kerana keputusan pemecatan itu dibuat secara tergesa-gesa sedangkan Mohamad Redzuan menunjukkan prestasi cemerlang dalam kajian dan penyelidikannya.

“Banyak hasil kajian politiknya menjadi bahan rujukan dan perbincangan akademik tokoh, pemimpin dan parti-parti politik. Kerana ketokohan beliaulah berjaya menjulang UM antara universiti terunggul di negara ini.

“Tindakan ke atas beliau hanya akan menjatuhkan reputasi UM sendiri selain integriti kerajaan di mata rakyat,” katanya lagi.