PASIR MAS - Seorang pemuda ditemui mati dalam bilik tidur di sebuah rumah dekat Kampung Bongor pada jam 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat berkenaan punca kematian mangsa.

Menurutnya, pemuda berusia 29 tahun itu dipercayai berada seorang diri dalam bilik berkenaan semasa kejadian.

"Bapa mangsa yang baru pulang ke rumah pada jam 9 pagi mendapati anak lelakinya tidak keluar daripada bilik tidurnya dan beranggapan mangsa masih tidur.

"Setelah hampir tengah hari, bapa mangsa cuba membuka pintu bilik tetapi gagal dan bertindak memecahkan pintu bilik berkenaan," katanya.

Katanya, bagaimanapun mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak bernyawa dengan kesan darah pada badannya, manakala sebilah pisau berada bersebelahan mangsa.

Beliau memaklumkan, setakat ini kes berkenaan dikategorikan sebagai mati mengejut, namun siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Sementara itu, jiran keluarga mangsa, Zainab Ismail berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu apabila mendapati orang-ramai mengerumuni rumah mangsa pada kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, penduduk memaklumkan terdapat seorang lelaki maut di dalam bilik berkenaan.

"Dalam bilik, saya dapati mangsa berada dalam keadaan terlentang dan dipenuhi darah.

"Saya harap keluarga mangsa bersabar dan saya nasihatkan penduduk tidak buat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini," katanya.