Thursday, 11 June 2015

UNTA MASUK KE LUBANG JARUM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf [7:40-41]) pada 6 Jun 2015. Antara isunya adalah musibah akhirat yang menimpa orang yang tidak beriman.

Orang Melayu berkata: “Tunggulah sampai kucing bertanduk.” Al-Quran pula menyebut:

 “TUNGGULAH UNTA MASUK LUBANG JARUM DAHULU.”

Baik pepatah Melayu atau pepatah al-Quran dalam kerangka budaya bahasa Arab, keduanya menggambarkan sesuatu yang mustahil. Memang sangat mustahil untuk haiwan sebesar unta menerobos masuk ke lubang jarum. Begitulah juga mustahilnya peluang manusia yang tidak beriman kepada Allah untuk menghuni syurga di akhirat kelak:

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ (40) لَهُمْ مِنْ جَهَنَّمَ مِهَادٌ وَمِنْ فَوْقِهِمْ غَوَاشٍ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الظَّالِمِينَ (41)

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, “TIDAK SEKALI-KALI AKAN DIBUKAKAN BAGI MEREKA PINTU-PINTU LANGIT DAN MEREKA TIDAK AKAN MASUK SYURGA SEHINGGA UNTA MASUK DI LUBANG JARUM” dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya) (al-A’raf [7:40-41]).

Usahkan menghuni syurga, pintu langit pun langsung tidak dibuka untuk mereka. Pintu langit adalah gerbang awal untuk segala amalan soleh naik bertemu Allah:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَكْرُ أُولَئِكَ هُوَ يَبُورُ

Ertinya: Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. “KEPADA ALLAH LAH NAIKNYA SEGALA PERKATAAN YANG BAIK (YANG MENEGASKAN IMAN DAN TAUHID, UNTUK DIMASUKKAN KE DALAM KIRA-KIRA BALASAN), DAN AMAL YANG SOLEH PULA DI ANGKATNYA NAIK (SEBAGAI AMAL YANG MAKBUL” - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa (Fatir [35:10]).

Amalan naik ke atas juga boleh difaham sebagai bahasa kiasan bagaimana orang yang tidak beriman tidak mendapat rahmat dari Allah. Bak kata orang Melayu, masalah dan aduan orang bawahan tidak dibawa naik ke atas untuk diselesaikan oleh pihak berwajib. Orang bawahan yang tidak dilihat oleh orang atasan akan senantiasa keciciran dari arus kemajuan.

Mana mungkin amalan mereka ini diangkat naik kerana mereka begitu sombong semasa di dunia dahulu untuk mengiktiraf ketuhanan Allah. Inilah bahananya melupakan Allah, kelak di akhirat mereka dibiarkan “BUTA TAK TERBELA:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (124) قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (125) قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آَيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (126) وَكَذَلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِآَيَاتِ رَبِّهِ وَلَعَذَابُ الْآَخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَى (127)

Ertinya: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?" Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal (Taha [20:124-127]).

Semoga pintu langit senantiasa terbuka untuk menerima amal soleh kita dan kita bakal masuk syurga dengan mudah seperti sang lancarnya angin menerobos masuk ke pintu rumah yang terbuka luas. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Post a Comment