SELAYANG - Seorang maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 23, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Taman Rimba Templer di sini, jam 12 tengah malam kelmarin.
 
Sumber polis berkata, kereta jenis Honda City itu dipandu P Suthan, 21, dari arah Rawang yang hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Toyota Hilux, dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dengan pasangannya.
 
Menurutnya, beberapa minit selepas itu, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tidak sempat mengelak kenderaan tersebut yang telah melintang di tengah jalan dan melanggarnya.
 
“Suthan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, sementara yang lainnya hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.
 
“Pemandu Toyota Hilux cedera di bahagian telinga dan pasangannya patah jari tangan kiri, manakala penunggang dan pembonceng pula luka di bahagian lengan serta kaki,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Katanya, keadaan jalan di lokasi kejadian rata dan kering, namun gelap disebabkan tiada lampu jalan.
 
“Bagaimanapun lalu lintas lancar semasa kejadian.
 
“Alamat terakhir Suthan adalah di Taman Bukit Rawang Jaya dan mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.