IPOH - Biarpun Ramadan bermula hari ini, kenaikan harga barang sudah mula dikesan antaranya kacang tanah.

Peniaga sambal pecal, Shahrudin Deli, 40, berkata, dia tidak menyangka kacang tanah yang dibelinya Selasa lalu naikhingga RM28 seguni (3.9 kilogram) berbanding harga sebelumnya, RM23 seguni.

Menurutnya, dia yang tidak percaya dengan kenaikan harga tersebut turut membuat tinjauan ke satu lagi kedai berhampiran, bagaimanapun hampa kerana harga tersebut sama selain menggunakan alasan kenaikan disebabkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kenaikan ini sangat ketara, jika naik RM1 saya tidak kisah sangat. Ia tidak sepatutnya berlaku ketika ini kerana memberi kesan kepada banyak peniaga, terutama mereka yang membuat biskut raya yang berasaskan kacang.

“Saya juga tiada pilihan kerana bahan utama untuk sambal pecal dan kuah nasi himpit adalah kacang. Selalunya apabila Ramadan permintaan untuk sambal pecal lebih tinggi berbanding hari-hari biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrudin berkata, dia musykil apabila seguni kacang itu juga tidak tetap beratnya antara 3.7 kilogram (kg) hingga 3.9 kg.

"Perkara ini jelas menguntungkan pemborong kerana menggunakan harga sama tetapi beratnya berbeza, adalah lebih baik sekiranya mereka menggunakan piawaian yang tepat.

“Jika diikutkan sekarang pemborong jual sekitar RM7 hingga RM7.50 sekilo, kedai runcit jual antara RM8 hingga RM8.50 per kg,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit dan pasar raya sekitar Ipoh rata-rata mendapati harga kacang tanah dijual dengan harga RM8 hingga RM8.50 per kg.

Sementara itu, peniaga runcit, Baharudeen Ali Ahmad, 40, berkata, harga kacang tanah yang dijual di kedainya mengikut harga semasa iaitu antara RM8 hingga RM8.50 sekilo.

Menurutnya, harga seguni kacang tanah dengan berat 3.7 kg yang dibeli dari pemborong RM27, termasuk GST RM1.53.

“Selalunya saya beli dua guni sebab kebanyakan pelanggan beli sedikit. Saya bungkus dan simpan dalam peti sejuk supaya tahan lebih lama.

“Jika simpan dalam peti sejuk ia tahan hampir sebulan. Jika dibiarkan dalam suhu biasa ia cepat rosak dan selalu dimakan kutu sebab bukan selalu orang beli kacang tanah” katanya.

Menurut, peniaga nasi lemak di Ipoh, Hasnah Muhammad Rasad, 55, selalunya dia membeli lima kg kacang tanah sekali gus sebagai pelengkap hidangan nasi lemak.

“Sebelum ini suami saya beli RM30 untuk lima kilogram tetapi itu dululah, sekarang saya rasa lebih kurang RM35 untuk lima kilogram iaitu RM7 sekilogram,” katanya.

Bagi Sapiyah Abdul Latif, 47, mengakui tidak merasai sebarang kenaikan memandangkan harga bagi sekilo kacang tanah di tempatnya di Bagan Datoh hanya RM6.

“Mungkin harga kacang di kampung tidak naik sebab kurang permintaan atau pemborong masih kekalkan harga sama tanpa GST,” katanya.