Tuesday, 23 June 2015

BERKHIDMAT KEPADA IBU BAPA
Ketika kita masih kecil, ibu dan bapa kita merupakan segala-galanya untuk kita. Merekalah insan yang membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada kita. Mereka jugalah merupakan wira atau jaguh kepada kita. Meskipun ibu bapa kita sibuk dengan pekerjaan namun mereka masih mempunyai tenaga untuk mendidik kita, bermain dengan kita, membawa kita ke tempat2 menarik dan sebagainya. Merekalah yang telah dipilih Allah s.w.t. untuk merawat kita dalam kesakitan dan memelihara kita daripada segala bahaya dan ancaman. Kita terpaksa bergantung kepada mereka untuk segala keperluan kita

Kemudian pada suatu masa kita dapati wira dan wirawati yang pernah mampu melakukan segala-galanya untuk kita mula berubah. Mereka sudah tidak sekuat dahulu. Kaki yang dahulunya mampu untuk membawa kita ke pelbagai tempat, tiba-tiba tidak lagi bermaya meskipun untuk memanjat beberapa anak tangga.

Mereka yang pernah suatu ketika selalu riang menjadi mudah tersinggung perasaannya tanpa kita sedari. Itulah sunnatullah dalam kehidupan ini. Manusia akan berubah bukan hanya daripada sudut fizikal tetapi juga daripada sudut emosinya dengan meningkatnya umur. Ini bukan suatu penyiksaan bahkan suatu kelebihan yang diberikan Allah s.w.t. kepada insan agar mereka ketika waktu senja mereka dapat lebih memberikan tumpuan kepada tempat pulang mereka yang abadi di sisi Allah.

Jika pada waktu mudanya manusia akan sibuk mengejar kemewahan material, sibuk dengan pekerjaan dan urusan hidup. Namun apabila mereka mula menua, semua nikmat itu dikurangkan agar mereka dapat lebih ingat akan ketibaan saat kematian yang pasti. Ia digantikan dengan kelebihan jiwa yang lebih sensitif dan lunak agar lebih mudah dekat pada Allah s.w.t.

Ketika perubahan ini berlakulah maka Allah s.w.t. mengingatkan kita sebagai anak didalam surah Al-Isra' ayat 23:
Yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Allah s.w.t. Maha Mengetahui keadaan emosi manusia pada waktu tua. Oleh itu, Dia mengingatkan manusia untuk amat berhati-hati dalam hubungan dengan ibu bapa dan jangan menuturkan sesuatu perkataan pun yang mungkin mempunyai nada yang menyinggung perasaan mereka.

No comments:

Post a Comment