Friday 19 June 2015

'Azmin, pilih di antara PAS dan DAP... atau bubar saja DUN Selangor' - Mahfuz

'Azmin, pilih di antara PAS dan DAP... atau bubar saja DUN Selangor' - MahfuzMenurut Mahfuz, pembubaran DUN Selangor merupakan jalan terakhir sekiranya isu pentadbiran negeri itu masih tidak diselesaikan. 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubar sekiranya isu pentadbiran negeri itu gagal diselesaikan.

Beliau juga menggesa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memilih di antara PAS atau DAP sebagai rakan dalam pentadbirannya itu.

“Mahu tidak mahu YB Menteri Besar Selangor harus membuat pendirian sama ada memilih salah satu daripada parti (PAS atau DAP) untuk menjadi rakan dalam pentadbiran negeri Selangor,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika ditemui pemberita di Parlimen, pada Khamis.

Katanya, tidak mungkin Selangor akan membentuk kerajaan campuran tiga parti kerana itu bermakna PAS dan DAP kembali bekerjasama.

Ujar beliau, sekiranya PKR sudah membuat pilihan, maka salah satu parti, iaitu PAS atau DAP, harus berundur secara terhormat.

“Yang berundur bukan bermakna dia tidak menyokong kerajaan; dia boleh menjadi parti mesra kerajaan,” kata Mahfuz.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang pembubaran DUN Selangor, Mahfuz berkata sama ada wajar atau tidak, itu terpulang kepada pendirian Azmin.

Bagaimanapun, katanya, permasalahan daripada segi pentadbiran ini akan menyebabkan DUN Selangor tergugat, dan pembubaran merupakan satu penyelesaian kepada kemelut ini.

Namun begitu, jelas beliau, ia hanyalah jalan terakhir sekiranya cadangan supaya Azmin membuat pilihan itu tidak diendahkan.

“Kalau macam tu, bubar sajalah. Serahkan mandat kepada rakyat. Tapi saya sayangkan kerajaan ini kerana ia dibina atas mandat yang begitu besar,” katanya.

Ditanya bagaimana jika PAS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), kata Mahfuz jika itu yang berlaku, maka ia akan menjadikan situasi yang lebih buruk kepada PAS.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi, di mana 15 daripadanya disandang oleh DAP, 15 PAS, 13 PKR, 12 BN dan satu Bebas.
 
Belum ada komen dikemukakan lagi. Jadilah orang yang pertama mengemukakan komen!

Kemukakan komen baru

No comments:

Post a Comment