442

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan memutuskan sama ada menjadi parti politik atau tidak minggu depan.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, dalam pertemuan meja bulat pada 13 Jun ini, semua pemimpin NGO itu akan turut serta.

“Ini keputusan besar yang perlu kita buat kita akan ada perbincangan meja bulat 13 Jun 2 petang. Semua pimpinan jawatankuasa pusat dan negeri akan menghadirinya.

“Memang ada cadangan jadi parti politik. Tapi ini bergantung kepada perbincangan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Phahrolrazi April lalu mengumumkan akan memutuskan menjadi parti politik selepas berakhirnya muktamar PAS bagi melihat terlebih dahulu hubungan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Muktamar parti itu di Kuala Selangor berakhir semalam dengan usul memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas – tindakan yang berpotensi besar memecahkan Pakatan.

DAP sendiri sudah mengalu-alukan pemimpin PAS berundur daripada kedudukan masing-masing dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ditanya kesediaan PasMa menerima pemimpin kanan yang kalah bertanding, Phahlolrazi berkata perkara itu bergantung kepada perbincangan yang akan diadakan.

Wajar keluar dari k'jaan PP

Sementara itu, mengulas kewajaran pemimpin PAS mengosongkan jawatan mereka dalam kerajaan Pulau Pinang selepas memutuskan hubungan dengan DAP

Phahlolrazi berkata, memandangkan PAS sudah memutuskan hubungan dengan DAP, parti itu wajar mengosongkan jawatan mereka di Pulau Pinang.

“Kalau PAS telah mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, maka wajarlah (kosongkan jawatan).

“Pulau Pinang kerajaan Pakatan Rakyat, tapi yang mengetuainya adalah DAP,” katanya.

Katanya, jika keputusan sama dibuat kerajaan Selangor, PAS tiada pilihan lain selain berundur.

Phahlolrazi berkata demikian ketika ditanya mengenai status PAS di Pulau Pinang dan Selangor.