Thursday, 11 June 2015

Tanggungjawab Menjaga Ibu-bapa –
Pengajaran dari Kisah Uwais Al-Qarni

Marilah kita menghayati kisah seorang lelaki yang walaupun pernah hidup di zaman nabi s.a.w. akan tetapi beliau tidak dikategorikan sebagai sahabat baginda s.a.w. oleh kerana tidak sempat bertemu dengan Rasul. Namun, Nabi s.a.w. menyuruh  sebahagian sahabat baginda untuk mencari lelaki tersebut dan meminta doa darinya. Siapakah lelaki istimewa tersebut? Beliau ialah Uwais Al-Qarni.

Uwais Al-Qarni merupakan seorang yang berasal dari kota Yaman. Walaupun serba miskin harta, akan tetapi lelaki ini kaya dengan akhlak dan budi pekerti. Dirinya terkenal sebagai seorang anak yang taat beribadah dan berbakti pada ibunya yang telah pun uzur.

Semenjak hari pertama beliau memeluk agama Islam, hatinya merasakan rindu untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w. yang berada di kota Madinah. Hasrat untuk bertemu dengan Baginda terpaksa dipendamkan, memandangkan keadaan ibu yang terlalu uzur dan sangat memerlukan beliau agar sentasa di sampingnya.

Suatu hari Uwais mendekati ibunya lalu meminta izin dari ibunya agar diperkenankan hasratnya untuk bertemu dengan Nabi s.a.w. di Madinah. Ibunya mengizinkan lalu berkata: “Pergilah wahai anakku.. temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah sampai ke kota Madinah dan bertemu Rasul s.a.w., segeralah engkau kembali pulang”.

Maka berangkatlah Uwais Al-Qarni dari kota Yaman menuju ke Madinatul Munawwarah. Namun setelah tiba di kota Madinah, ternyata Rasulullah s.a.w. pada saat tersebut bermusafir dan tidak ada di kota Madinah.

Alangkah sedihnya Uwais yang datang dari jauh beratus batu untuk bertemu dengan Baginda, akan tetapi beliau hanya berkesempatan untuk mengirimkan salamnya sahaja. Lalu beliau dengan segera meninggalkan kota Madinah kerana taat kepada pesanan ibunya yang inginkan beliau pulang dengan segera.

Disebabkan pengorbanannya dan keikhlasannya menjaga orang tuanya, Allah s.w.t. telah mengurniakan  Uwaiys dengan darjat yang tinggi di sisinya dan memakbulkan doanya. Hal ini terakam dalam sebuah riwayat sabda Baginda s.a.w. mengenai beliau:

Yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya akan datang kepadamu seorang lelaki dari Yaman yang bernama Uwais. Dia tinggal di Yaman bersama ibunya... Barangsiapa di antara kamu yang menemuinya, maka mintalah kepadanya agar memohon keampunan kepada Allah untuk dirimu. (Hadith riwayat Imam Muslim).

No comments:

Post a Comment