MUFLIS
Sekiranya kita ditanya, apakah yang dimaksudkan sebagai seorang yang muflis? Pasti ada yang menjawab: Dia yang tiada sebarang harta atau wang, atau dibelenggu hutang serta tiada kemampuan untuk membayarnya. Akan tetapi definasi muflis yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w. melebihi muflis harta duniawi.
Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang muflis di kalangan ummatku ialah mereka yang datang esok pada hari kiamat (dengan pahala amalan) solat, zakat dan puasa. Akan tetapi dia pernah menghina seseorang, dan melontar tuduhan palsu ke atas yang lain, lalu memakan harta orang lain, pernah pula menumpahkan darah orang lain dan pernah menyakiti yang lain. Maka dibahagi-bahagikan pahala kebaikannya kepada orang-orang itu. Dan apabila sudah habis kebaikannya, akan dihimpunkan kepadanya dosa-dosa orang yang menuntut, lalu dia akan dihumbankan ke dalam api neraka”. [Hadith riwayat Imam Muslim]
Subhanallah, Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa hamba Allah tersebut datang dihadapan Allah esok dengan pahala amal ibadahnya. Ini bermakna amal ibadah yang dilaksanakan di dunia dulu merupakan amalan yang telah mencukupi syarat-syarat penerimaan Allah s.w.t. Akan tetapi segala pahala-pahala tersebut habis tergadai disebabkan akhlak dan kelakuan buruknya terhadap insan lain.
Hadith ini mengingatkan kita bahawa jika kita ini mengaku beriman tetapi perangai dan kelakuan kita masih lagi tidak mencerminkan keimanan, maka itu tanda-tanda ketidaksempurnaan iman kita. Oleh itu Nabi s.a.w. bersabda pada hadith yang lain: “Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik di antara mereka akhlaknya.” [Hadith riwayat Tirmizi]
No comments:
Post a Comment