Wednesday 4 November 2015

BERITA  |  MALAYSIA

Pahang beri tiga bulan untuk 'pemutihan' perkahwinan

Pahang beri tiga bulan untuk 'pemutihan' perkahwinan
Pasangan di Pahang yang berkahwin mengunakan saluran tidak sah diberi tempoh tiga bulan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.
KUANTAN: Pasangan di Pahang yang berkahwin mengunakan saluran tidak sah diberi tempoh tiga bulan bermula 2 Nov ini untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tanpa dikenakan tindakan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata perkahwinan yang perlu didaftarkan adalah yang dilakukan di selatan Thailand, seperti Narathiwat, Pattani, Songkhla, Yala, Satun dan lain-lain yang tidak memohon serta gagal mendapat kebenaran berkahwin secara bertulis daripada pejabat agama Islam daerah.

Menurutnya, ia turut meliputi perkahwinan sindiket yang berlangsung di dalam negara seperti di Kuantan, namun pasangan berkenaan memperoleh sijil perkahwinan daripada Majlis Agama Islam wilayah Selatan Thailand.
                                                                                                                                   
"Sepanjang tempoh itu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memberi peluang kepada mereka membuat pendaftaran dan hanya perlu menjelaskan bayaran dokumentasi sahaja.

"Pasangan berkenaan juga akan dibantu melalui siasatan, sama ada perkahwinan yang dibuat mengikut syariat yang telah ditetapkan atau perlu dinikahkan semula dan sebagainya," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Wan Abdul Wahid berkata mengikut rekod, terdapat peningkatan untuk kes perkahwinan di selatan Thailand iaitu seramai 210 pasangan bagi tempoh Januari  hingga Oktober ini, berbanding 207 pasangan pada tahun lalu dan 175 pada 2013.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perkahwinan di wilayah selatan Thailand tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (EUKI) Pahang 2005.

Pasangan yang terlibat boleh didakwa antaranya mengikut Seksyen 40(2) EUKI iaitu kesalahan berhubung akad nikah dan Seksyen 124 EUKI bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"Sijil perkahwinan yang diperoleh daripada mana-mana wilayah Selatan Thailand tidak diiktiraf untuk kegunaan rasmi negara ini, menyebabkan timbul beberapa masalah seperti tidak mendapat sijil kelahiran anak, sekali gus menjejaskan pendaftaran persekolahan mereka.

"Mereka juga akan berdepan masalah menuntut hak jika berlaku perceraian dan jika salah seorang pasangan itu mati, maka pasangan dan anak tiada hak menuntut harta pusaka," katanya. 

No comments:

Post a Comment