Saturday 21 November 2015

Amerika bantu Malaysia 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Amerika Syarikat akan membantu Malaysia menubuhkan pusat ‘counter-messaging’ yang berperanan menjalankan aktiviti-aktiviti antikeganasan dalam usaha menjadikan rantau ini aman dan selamat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden AS, Barack Obama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini berkata, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, terutama menentang keganasan.
“Seperti diketahui terdapat kumpulan pengganas yang beroperasi di rantau ini yang mempunyai persamaan operasi dengan kumpulan militan negara Islam (IS) yang ideologinya berlawanan dengan Islam sebenar,” katanya kepada pemberita selepas me­ngadakan perbincangan dengan pemimpin dunia itu di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, sehubungan itu kedua-dua negara bersetuju dengan penubuhan pusat 'counter-messaging' yang berperanan mendidik masyarakat kerana usaha menentang keganasan bukan sahaja melibatkan tindakan ketenteraan tetapi juga memena­ngi hati dan minda rakyat.
Najib berkata, Malaysia juga diperlukan memainkan peranan bagi menunjukkan kepada dunia bagaimana pengamalan agama Islam yang sebenar.
Menyentuh isu yang sama, Obama berkata, AS yang mempunyai hubungan erat dengan Malaysia dan rantau
ini sedia membantu negara itu dalam usaha menentang keganasan dan kumpulan pengganas se­perti IS.
“Dalam usaha itu, Malaysia akan menggunakan segala peralatan dan kemudahan yang diperlukan seperti media sosial, pendidikan akademik dan sebagainya yang boleh dilaksanakan dengan kerjasama AS,” katanya.
Katanya, beliau kembali melawat negara ini dan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN kali ini kerana mempunyai hubungan rapat de­ngan rantau ini yang telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Beliau berkata, perbincangan yang akan membabitkan pemimpin-­pemimpin utama dunia dan rantau ini di sidang kemuncak itu akan memberi fokus kepada usa­ha dunia memerangi IS dan juga akan menyentuh isu pertelingkahan di Laut China Selatan.
Katanya, Malaysia adalah sebahagian daripada usaha dunia menentang keganasan dan negara itu boleh memainkan peranan sangat besar dalam usaha menghalang aktiviti keganasan, termasuk perkembangan fahamannya.
Mengenai isu di Laut China Selatan, Obama berkata, walaupun AS bukan salah satu daripada negara yang terlibat dalam pertelingkahan itu tetapi beliau berharap jalan penyelesaian akan dicapai antara kesemua pihak mengikut peraturan maritim antarabangsa.
Dalam perbincangan selama 45 minit itu, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai isu-isu semasa dan ekonomi seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dimeterai dalam tempoh dua tahun lagi.
Kunjungan Obama ke Malaysia kali ini adalah kali kedua dilakukannya selepas lawatannya pada April tahun lepas.
- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/amerika-bantu-malaysia-1.160712#sthash.tQxlBwd9.dpuf

No comments:

Post a Comment