Tuesday 3 November 2015

BERITA HARI INI – 4/11/15 (by: MJI)

1.  TAPAH – “Saya pernah terdengar dua kali jeritan dan tangisan seolah-olah meminta tolong di sekitar bengkel, tetapi saya fikir mungkin anak pemilik bengkel itu yang menjerit.” Demikian dakwaan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zah ketika ditanya mengenai kes pembunuhan empat individu yang terbongkar selepas penahanan seorang lelaki bersama tiga ahli keluarganya di rumah mereka yang terletak di dalam kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini.

2.  KUALA LUMPUR - ASEAN memandang serius isu-isu keganasan yang berlaku di rantau tersebut dan akan mengambil sebarang tindakan tegas yang perlu untuk menangani ancaman itu secara bersama.

3.  KUALA LUMPUR - Sejumlah 43,599 rakyat negara ini berumur lebih 100 tahun, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ia adalah rekod yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara sehingga September tahun ini. Kaum Cina mencatatkan jumlah tertinggi manakala Orang Asli Semenanjung adalah yang terendah mengikut pecahan kaum.

4.  KUALA LUMPUR - Ribut petir yang dijangka berlaku di perairan Samui, Condore dan Layang-Layang dijangka berterusan sehingga awal pagi esok. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam.

5.  KUALA LUMPUR - TELEKOM Malaysia Bhd (TM) melalui anak syarikat milik penuhnya, Intelsec Sdn Bhd, telah mencadang untuk menubuhkan syarikat usaha sama (JVC) dengan Township Management Services Sdn Bhd (TMS) bagi menyediakan perkhidmatan bangunan pintar serta perkhidmatan bandar raya pintar.

6.  KUALA LUMPUR - Ketika kehadiran kapal perang dan kapal-kapal kuasa besar di Laut China Selatan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara-negara anggota Asean, rantau ini perlu mencari jalan penyelesaian dan bergerak sebagai satu blok, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

7.  KUALA LUMPUR - Kesemua kontrak projek pembinaan masjid baru dan membaikpulih masjid sedia, di bawah tata kelola Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah melalui tender terbuka, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

8.  PETALING JAYA - Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand hari ini bersetuju untuk meneruskan inisiatif Rondaan Selat Melaka (MSP) untuk membanteras rompakan dan memastikan keselamatan kapal yang melalui Lautan Hindi dan Laut China Selatan.

9.  SHAH ALAM - Polis Selangor membongkar taktik baharu sindiket mencuri barang kemas dengan menyembunyikannya di sebalik jahitan baju dan pinggang seluar, selepas menahan tiga lelaki warga Amerika Latin. Taktik itu dikesan ketika polis menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 29 dan 47 tahun di sebuah kondominium mewah di Lembah Klang kira-kira 10 malam tadi.

10.  KUALA LUMPUR - Tiga daripada 16 anggota sindiket memproses pil ekstasi bernilai RM28 juta yang ditahan Ahad lepas, disyaki berkongsi kepakaran dalam kegiatan berkenaan ketika dalam tahanan. Mereka ditahan dalam 10 serbuan serentak bermula 4 pagi di lokasi sekitar Jerantut, Pahang dan Lembah Klang, pada Ahad lepas.

11.  KUALA LUMPUR - Seorang penyokong kerajaan yakin isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mampu menjadi kekuatan baharu kepada Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang apabila kerajaan membuktikan kepada rakyat dakwaan-dakwaan terhadap syarikat itu adalah tidak benar.

12.  MELAKA - Isi kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan. Kerajaan telah menyelesaikan proses rundingan TPP itu dengan pihak terlibat dan langkah seterusnya ialah membentangkan butiran perjanjian tersebut kepada rakyat.

13.  AIRASIA Bhd akan melancarkan penerbangan dari Pulau Pinang ke Ho Chi Minh City sebanyak empat kali seminggu, bermula 16 Dis 2015. Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee berkata tambang termasuk semua serendah RM99 sehala Pulau Pinang-Ho Chi Minh City kini ditawarkan menerusi airasia.com sehingga 8 Nov bersempena penerbangan sulung.

14.  PUTRAJAYA - Pemilik premis digalakkan memasang tanda amaran tambahan pada eskalator berikutan beberapa kejadian kanak-kanak jatuh daripada eskalator, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem. Selain ibu bapa memantau anak mereka, pengguna juga perlu diberi peringatan mengenai keselamatan ketika menggunakan eskalator dari semasa ke semasa.

15.  SERDANG – Ribuan kenderaan terkandas apabila hujan lebat kira-kira 30 minit petang tadi, menenggelamkan kedua-dua hala Lebuhraya Sungai Besi berdekatan Stesen Komuter Serdang.

16.  KUALA LUMPUR - Kerajaan membuat persediaan rapi daripada pelbagai aspek bagi menghadapi kemungkinan banjir tahun ini, bagi memastikan setiap tindakan agensi terlibat dilaksanakan secara teratur. Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga telah bersedia berdepan situasi banjir terutama di pantai timur dari segi fizikal, mental dan logistik berdasarkan pengalaman lepas, dengan bantuan agensi lain.

17.  SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoal tindakan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang tidak membentangkan kertas putih mengenai keperluan mewujudkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG), pada persidangan Dun.

18.  PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan 12 operator air di bawah seliaannya untuk kerjasama menghadapi krisis bekalan akibat bencana alam dan faktor luar jangka. Kerjasama itu dirancang selepas berlakunya krisis bekalan di beberapa negeri yang dilanda banjir besar pada hujung tahun lepas.

19.  SHAH ALAM - Bajet Selangor 2016 ditegur Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana diklasifikasikan mengamalkan corak perbelanjaan tidak berhemah. Langkah kerajaan negeri membentangkan bajet defisit RM630 juta mungkin boleh dikawal dari segi perbelanjaan mengikut keperluan serta jumlah rizab yang dimiliki kerajaan negeri.

20.  KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang memfailkan satu usul di bawah Peraturan 43 dan 99 Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mencabar keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggantung Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang selama enam bulan dari persidangan Dewan Rakyat. Kit Siang sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terlebih dahulu sebelum sebarang hukuman dijatuhkan ke atasnya.

21.  KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak seharusnya dihalang daripada menyertai debat dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apfdal berkata, ini termasuklah meletakkan syarat kepada Tony agar meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) jika mahu debat diteruskan.

22.  KUALA LUMPUR - Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) mencapai banyak kemajuan kerana ia bukan politik dan tidak terperangkap dalam Islam yang kritikal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

23.  KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu van ditahan bersama 3,750 karton rokok yang disyaki belum mendapat kelulusan Kastam dalam serbuan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Kampung Gemuruh di sini awal pagi tadi. Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Plaza Tol Kuala  Terengganu pada pukul 1.20 pagi hasil maklumat orang awam.    

24.  KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadangkan agar segera mengkaji semula kos asas dalam pembinaan kediaman bagi mengatasi masalah harga rumah yang sangat tinggi sehingga sukar dimiliki rakyat. Ini termasuk kos asas binaan, kos tanah, caj pembangunan sampingan dan pembayaran statutori yang dibayar kepada pihak utiliti seperti elektrik dan air.

25.  KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan 28 badan bukan kerajaan (NGO) pencegahan jenayah yang telah ditubuhkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara selamat kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

26.  IPOH - Tujuh orang cedera ringan apabila empat kenderaan termasuk sebuah lori terbabit dalam kemalangan di Kilometer 394.5 Lebuharaya Utara-Selatan arah utara dekat Tanjung Malim arah di sini malam tadi. Kemalangan pada pukul 9.43 malam itu membabitkan seorang pemandu lori, pemandu dan penumpang Perodua Myvi, pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva dan sepasang suami isteri yang menaiki kereta Proton Satria.

27.  KUALA LUMPUR - Walaupun berdepan cabaran yang serius untuk mewujudkan sebuah bank Islam mega dunia, usaha-usaha perlu diteruskan untuk menjadikannya satu realiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

28.  SUSULAN kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul Piala AFC baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan mendermakan RM1 juta kepada rumah anak yatim di Johor.

29.  KUALA LUMPUR - Seorang duda memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini beliau mencabul seorang pelajar perempuan kerana dia terlalu cantik. Sebelum menjatuhkan hukuman atas tuduhan mencabul, Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan bertanya kepada tertuduh mengapa dia memegang mangsa, tertuduh menjawab dalam Bahasa Mandarin, "Gadis itu terlalu cantik".

30.  KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan menjalankan kempen di seluruh negara bagi membanteras penjualan cecair nikotin tanpa lesen yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape. Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata jika didapati tidak memiliki lesen untuk menjualnya, vape yang mengandungi cecair itu akan dirampas.

31.  SUZHOU  - CHINA. Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan mencuri barangan kemas yang dianggarkan bernilai 1 juta yuan. Kes yang berlaku pada awal tahun ini di sebuah kedai barangan kemas di wilayah Sichuan mendapat perhatian media selepas lelaki itu dikatakan melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan wang untuk berkahwin.

32.  SHAH ALAM - Sebuah video yang menunjukkan seorang pelajar perempuan memeluk dan mencium pelajar lelaki yang dipercayai kekasihnya selepas dilamar viral dan mendapat kritikan netizen. Video berdurasi 15 saat itu dipercayai dirakam di kawasan sekolah dan turut disaksikan pelajar yang lain.

33.  PUTRAJAYA - Jadual suntikan dos tambahan vaksin lima serangkai yang diwajibkan pengambilannya ke atas bayi berusia 18 bulan di negara ini ditunda kepada 24 bulan. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu merupakan langkah jangka pendek bagi menangani masalah bekalan vaksin 5-serangkai yang dikenali sebagai DTap-IPV-HiB.

34.  KUALA LUMPUR - "Jika mahu menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pun, ia tak perlu dilakukan secara terang-terangan, kena la pandai-pandai," demikian kata Ahli Parlimen (PKR-Pandan), Rafizi Ramli yang menyindir sinis Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin.

35.  KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan akan menamakan seorang anggotanya bagi menggantikan Tony Pua untuk berdebat secara terbuka dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

36.  MELAKA - Seorang pengarah dan seorang pegawai sebuah jabatan kerajaan di sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan mengenai kes tuntutan palsu dan menggunakan kedudukannya bagi memperolehi suapan. Menurut sumber, kes berkenaan melibatkan seorang kontraktor yang mengemukakan tuntutan palsu.

37.  BAGAN DATOH – Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang dekat sini cedera di bahu kanan apabila ditikam dengan pisau lipat oleh rakan sekelasnya setelah selesai menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di sini hari ini.

38.  DAMSYIK  - Beratus-ratus wanita daripada puak Alawiah di sini yang setia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, dikurung didalam sangkar dan kemudian diletakkan di beberapa tempat untuk dijadikan perisai manusia bagi mengelakkan serangan udara tentera kerajaan.

39.  PUTRAJAYA - Kerajaan perlu menanggung kadar faedah sebanyak RM1.5 bilion setiap tahun akibat keengganan para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membayar balik pinjaman mereka.

40.  KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Search, Amy akan bekerjasama dengan pelukis Saiful Kadir menerusi sebuah pameran lukisan bertajuk Cahaya Jiwa yang diadakan di pekarangan Istana Budaya pada 23 hingga 25 Disember ini.

41.  SHAH ALAM – DAP tidak perlu berlagak pandai untuk mengajar Pas tentang politik berhubung isu pentadbiran kerajaan PKR Selangor kerana pembentukannya sudah dipersetujui secara bersama oleh semua parti dalam pakatan pembangkang.

42.  KUALA LUMPUR – Persediaan holistik perlu diselaraskan terlebih dahulu sebelum kerajaan meminda dasar mahupun akta berhubung perubahan takrifan umur belia untuk dikurangkan kepada usia 30 tahun menjelang 2018. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, rasional di sebalik perubahan itu adalah bagi mengikut standard piawaian antarabangsa selain selari dengan hasrat kerajaan untuk menerapkan nilai kepimpinan pada usia lebih awal.

43.  PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan kes terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan Blackout 505 tanpa kebenaran, dua tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

44.  KUALA LUMPUR  – Sebanyak 4,730 kes pendakwaan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dicatatkan sepanjang tempoh 2011 hingga September lalu. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, berdasarkan statistik Jabatan Peguam Negara, sebanyak 4,021 kes berkaitan kanak-kanak telah dijatuhkan hukuman di bawah akta tersebut dalam tempoh sama.  

45.  KUALA LUMPUR – British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) mengumumkan kenaikan harga tujuh jenama rokok keluarannya sebanyak 40 peratus bagi setiap kotak. Semakan harga baharu itu mengambil kira Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan pada 1 April lalu.

46.  KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan eksesais pengambilan jawatan konstabel lelaki di beberapa lokasi di seluruh negara bermula Khamis ini. Bagi calon yang telah mendaftar melalui portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh menghadirkan diri ke lokasi dan tarikh yang ditetapkan. 47.  MIRI - Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui orang awam di Taman Ceria Permyjaya pada awal pagi ini. Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Junaidi Bujang berkata, bayi perempuan tersebut dijumpai dalam keadaan sihat tubuh badan serta ditinggalkan dalam sebuah kotak dan dibalut dengan kain.

48.  MELAKA - Polis sedang mengesan pemilik kereta Perodua Viva yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari yang menyebabkan kematian seorang warga emas di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling di sini semalam. Dalam kejadian 3.45 petang itu Rabu Che Mat, 64, maut di tempat kejadian manakala isterinya Fatimah Ismail, 53, cedera di kaki dan badan apabila motosikal mereka dipercayai dilanggar kereta berkenaan.

49.  KUALA LUMPUR - Kebanyakan peniaga di Ampang Park merasa kesal apabila mengetahui kompleks membeli-belah paling lama di negara itu akan dirobohkan dan diganti dengan stesen serta laluan Transit Aliran Massa (MRT). Premis di Ampang Park seolah-olah menjadi penyambung rezeki kepada keluarga sejak sekian lama berniaga di sana.

50.  KUALA LUMPUR - "Saya OK, saya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu... masih membaca dan melakukan beberapa kerja lain termasuk melayan cucu-cucu saya." Demikian jawapan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selepas ditanya mengenai tahap kesihatannya oleh orang awam ketika soal jawab  dalam forum anjuran Majlis Peguam mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

51.  SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa 'kagum' dengan keberanian kerajaan Kelantan berhubung langkah negeri itu meluluskan kenaikan elaun Adun, Exco, Timbalan, Menteri Besar dan Speaker Kelantan yang berkuatkuasa Januari tahun hadapan.

52.  KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, pihaknya tidak mengeluarkan arahan perpindahan kepada Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Shazalee Abdul Khairi.

53.  KUALA KUBU BAHARU - Naluri Ruzilan Omar yakin menyatakan isterinya yang juga guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat, Jashiah Rabu yang hilang sejak 12 hari lepas di Taman Seruling di sini, masih selamat.

54.  KUALA LUMPUR - Pelakon Ika Nabila membuat laporan polis malam tadi selepas didakwa dipukul oleh seorang pengarah ketika sesi penggambaran di Hulu Klang. Kejadian yang berlaku sekitar tengah hari kelmarin menyebabkan bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu mengalami kecederaan di bahagian mulut dan belakang badan.

55.  RATU skuasy negara Datuk Nicol David mara ke suku akhir kejohanan Klasik Qatar selepas menewaskan pemain England, Victoria Lust di Kompleks Tenis dan Skuasy Antarabangsa Khalifa di Doha hari ini. Pemain berusia 32 tahun dari Pulau Pinang itu hanya mengambil masa 31 minit untuk menjinakkan pilihan ke-16 itu dengan 11-5, 11-5, 11-5 dalam aksi  pusingan keduanya.

No comments:

Post a Comment