281

Setelah 18 tahun tanpa konsert mega, persembahan kumuplan 'raja funfair' XPDC malam minggu lalu berlangsung tidak seperti diharapkan.

Persembahan itu bukan sahaja lambat kira-kira sat setengah jam, malah berlangsung tidak lancar sehingga terhenti di tengah jalan.
Puncanya satu, pada penyanyinya Mael, atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim.

Tidak pasti apa sebabnya, Mael hanya muncul kira-kira jam 10 malam walaupun anggota kumpulannya telah mempersembahkan lagu mereka kira-kira jam 8.30 malam.

“Ada sedikit kekeliruan,” jelas Mael kepada peminat yang tidak sampai seribu orang dalam ruang besar di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, setelah lagu demi lagu didendangkan dan giliran pemuzik menunjukkan kemahiran masing-masing, Mael (gambar) menuju ke belakang pentas dan sekali lagi 'hilang'.

Entah mengapa, Lola, pemain dram yang bertungkus-lumus membuat persembahan 'drum solo' kemudian berhenti dan melempar kayu pengetuk ke lantai sebelum disapa “jangan merajuk” oleh penonton.

Penonton kemudian ditinggalkan begitu saja terpinga-pinga apa sebenarnya yang berlaku.

Selfie tunggu Mael

Kebanyakan mereka dilihat menghabiskan masa berselfie, mengambil gambar berkumpulan atau sekadar duduk di padang.
Malah, kedengaran juga jenaka nakal untuk membuat laporan polis kerana lagu dinyanyikan tidak cukup.

Mujur Mael dan XPDC muncul sekali lagi dan meneruskan persembahannya hingga tamat.

XPDC mendendangkan beberapa belas lagu malam itu, termasuk Apo Nak Dikata, Semangat Yang Hilang, Hairan Bin Ajaib dan Hijau Bumi Tuhan.

Manakala lagu popular daripada album pertama mereka pada 1990, C.I.N.T.A tidak sempat dinyanyikan.

Sementara itu, daripada aspek persembahan, penampilan Mael dilihat masih mempunyai kemahiran persembahan yang tersendiri.

Cuma, mungkin faktor umur, beliau kepenatan sehingga beberapa kali terpaksa berhenti dan duduk sebentar di bucu pentas dan di atas platform dram.

Suaranya pula, seperti dijangkakan, tidak lagi semantap ketika kehadiran mereka pada 1990-an dulu, terutamanya sebutan yang kurang jelas.

Manakala gandingan rockesta yang dijanjikan pula tidak seperti dijangkakan apabila persembahan sempena 25 tahun XPDC itu hanya menampilkan enam pemain biola dan dua chello.

Mael kata isu bayaran, penganjur kata tak profesional

Sementara itu, Mael dilapor Mael menyifatkan kegagalan “Aku Masih Disini” (sic) yang tertunda lebih sejam pada malam Sabtu lalu kerana isu bayaran.

Mstar Online melaporkan penganjur enggan menjelaskan baki bayaran yang sepatutnya dilakukan sebelum persembahan berlangsung.

"Kemudian, apabila saya bertegas mahu bayaran dijelaskan juga sebelum persembahan, salah seorang daripada pihak penganjur mencampak duit itu ke lantai di depan orang ramai.

"Ketika itu saya rasa maruah saya dihina kerana perbuatannya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada petang Ahad.

Sementara itu, salah seorang penganjurnya, Mahmud Abu Bakar pula dilaporkan berkata, isu bayaran bukanlah punca sebenar konsert itu sebaliknya ia berpunca daripada masalah peribadi dan sikap tidak profesional.

"Dia (Mael) mempunyai masalah peribadi kerana abangnya baru saja meninggal dunia. Jadi mood dia pun dah lari.

"Pihak kami nak salahkan dia 100 peratus pun, rasanya tidak adil baginya. Cuma bagi pihak kami, yang dah lama membuat persiapan rapi, ia (konsert) cukup menghampakan," ujarnya.