Seorang pakar ekonomi negara, Jomo Kwame Sundaran melontarkan soalan mengapa Malaysia begitu berminat untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sedangkan negara-negara seperti Thailand dan Filipina memilih untuk menjauhkan diri.
"Mengapa Thailand tidak berminat? Mengapa Filipina yang begitu rapat dengan Amerika Syarikat, tidak berminat?
"Adakah terdapat begitu banyak manfaat yang Filipina dan Thailand tidak nampak?" soalnya selepas menghadiri forum TPPA 2016, anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia.
Dalam kes Indonesia, jelas beliau, ada yang berhujah bahawa negara itu mempunyai kerajaan yang baru dan ditambah semangat nasionalisme yang menebal menyaksikan mereka menarik diri daripada TPPA.
"Bagi Singapura pula, mereka mempunyai lebih banyak konsesi daripada apa yang terdapat dalam TPPA. Jadi bagi mereka, perjanjian itu tidak membebankan langsung.
“Brunei adalah sebuah negara yang kecil yang tidak cuba untuk membangunkan. Harapan mereka minyaknya akan kekal selama-lamanya.
"Dalam kes Vietnam, mereka telah buat pengiraan Mereka pernah berperang dengan China kira-kira 35 tahun yang lalu, mereka mempunyai banyak masalah dengan China, mereka sangat kecewa dengan kerajaan China, jadi mereka membuat keputusan strategik iaitu bersama Amerika Syarikat," kata bekas pegawai kanan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu.
Dengan memeterai TPPA, Jomo berkata, Najib akan menguburkan ikrar bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin yang mahu menjadikan ASEAN sebagai 'zon keamanan, kebebasan dan berkecuali (ZOPFAN).
Menurutnya, bukan menjadi rahsia bahawa agenda utama TPPA bagi Amerika Syarikat adalah untuk mengecualikan China.
"Kita boleh fahami, mengapa Vietnam, bekas seteru ketat Amerika berminat untuk menyertai TPPA iaitu untuk menguatkan hubungan dua hala dengan jiran gergasinya yang sukar itu.
"Tetapi mengapa kerajaan Malaysia begitu berminat untuk menyertai sedangkan manfaat ekonominya adalah meragukan serta risiko yang besar yang terlibat?” soalnya.
No comments:
Post a Comment