Wednesday 13 January 2016

Kontena kecil syurgaku

Oleh Zuliaty Zulkiffli 
am@hmetro.com.my
Alor Setar: “Pendapatan saya hanya RM30 sehari dengan menyiang ikan di kedai makan di Gunung Sali, Mergong namun jumlah itu tidak cukup untuk membayar sewa rumah kerana wang itu kegunaan makan minum kami dua beranak.
“Akhirnya kami dihalau tuan rumah kerana gagal membayar sewa rumah RM150 sejak sebulan lalu dan kini saya dan anak lelaki terpaksa menumpang sementara di dalam kontena kecil milik bekas majikan di Jalan Anak Bukit, di sini,” kata Zainab Ismail, 53.
Menurutnya, walaupun tidak selesa tinggal dalam kontena yang sempit itu namun dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mempunyai tempat lain untuk berteduh kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.
Selain keadaan sempit, Zainab terpaksa tidur berhimpit dengan anaknya, Mohd Zakri Abdul Kadir, 19, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam dan tidak boleh menulis sejak kecil disebabkan barangnya yang banyak dan turut diletakkan dalam kontena itu.
Zainab yang mempunyai dua anak berkata, anak perempuan sulungnya yang kini berusia 24 tahun sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kembar lelaki berusia 17 bulan tetapi tinggal di rumah mentuanya di Pantai Jamai, Langgar, di sini.
“Sebelum ini kami menetap di Kuala Lumpur namun sejak berpisah dengan bekas suami kira-kira 10 tahun lalu, saya menyewa rumah di Mergong tetapi walaupun memperoleh gaji setiap hari namun saya terpaksa membayar sewa rumah lambat setiap bulan kerana wang yang ada untuk simpanan makan minum kami dua beranak.
“Kelewatan itu menyebabkan tuan rumah itu menyuruh kami keluar sehingga terpaksa merempat sebelum bekas majikan menawarkan saya tinggal dalam kontena ini bersama anak buat sementara waktu.
“Namun saya bimbang berlaku sesuatu kejadian tidak diingini kerana lokasi ini sunyi setiap malam menyebabkan saya tak dapat melelapkan mata,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Zainab yang berasal dari Langgar berkata, dia pernah mencari rumah lain untuk disewa tetapi tidak cukup wang untuk membayar deposit dan sewa rumah yang mahal menyebabkan dia hilang punca memikirkan masalah yang dialami.
Katanya, sebelum ini dia hanya bergantung dengan duit bulanan yang diterima Jabatan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 sebelum tetapi diberhentikan sejak tiga tahun lalu dengan alasan anaknya turut mendapat elaun di bawah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebanyak RM150 sebulan.
Artikel ini disiarkan pada : 
Rabu, 13 January 2016 @ 8:52 AM 
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106874?m=1#sthash.fEFO1cs3.dpuf

No comments:

Post a Comment