Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak tersenarai dalam tiga nama calon Menteri Besar Kedah yang diserahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Menurut laporan BH Online, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencalonkan ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Husin.
Dr Ku Abd Rahman adalah EXCO Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Negeri, manakala Mohd Rawi adalah EXCO Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya.
Azmi pula merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.
Daripada senarai itu, Dr Ku Abd Rahman dikatakan calon yang paling berpotensi dilantik menjadi Menteri Besar berdasarkan latar belakang dan kedudukannya sebagai EXCO Kanan.
Pada Selasa lalu, 21 ADUN Barisan Nasional (BN) Kedah telah berjumpa dengan Perdana Menteri di Putrajaya dan hari berikutnya Ahmad Bashah bersama 14 Ketua Bahagian mengadakan sidang media meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berundur daripada jawatan.
Menurut Ahmad Bashah majoriti daripada mereka hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau yang juga Pengerusi UMNO Kedah.
Dalam pada itu, Najib dijangka mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, pada petang ini, yang dijadual turut dihadiri Mukhriz. – FMT
NOW YOU KNOW DONT SAY THANK - COMMENT & SHARE