Wednesday 20 January 2016


Terpikat adat melayu

Oleh Adnan Ibrahim 
am@hmetro.com.my

Kluang: Minatnya yang mendalam terhadap budaya dan tradisi Melayu menjadi pendorong kepada seorang ahli perniagaan keturunan Tionghua melangsungkan majlis perkahwinan anaknya mengikut adat resam kaum itu, kelmarin.
Datuk Lionel Chiong Ling Ngain, 56, berkata, dia dan isteri, Datin Liew Seiw Moi, 49, bersetuju untuk mengadakan majlis perkahwinan anak lelaki sulung mereka, Chiong Sen Sern, 26, mengikut adat resam orang Melayu.
Katanya, keinginan untuk melangsungkan majlis perkahwinan mengikut adat orang Melayu menjadi kenyataan apabila Pertubuhan Serikandi Kluang yang diketuai Zainani Jamaluddin sanggup menjadi pihak bertanggungjawab dalam mengatur majlis berkenaan.
“Kami gembira, malah perasaan sama turut dikongsi menantu, Yah Jia Yuh, 21, ketika diarak masuk ke dalam dewan persandingan dengan paluan kompang sambil diiringi pengapit lelaki dan perempuan yang berpakaian sedondon.
“Malah, isteri saya menitiskan air mata apabila melihat kedua-dua mempelai disandingkan di atas pelamin yang serba indah dan semua ini tidak terdapat di dalam adat resam masyarakat Tionghua,” katanya ketika ditemui selepas majlis berakhir, kelmarin.
Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Pekan Rabu, di sini, dihadiri hampir 1,000 tetamu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday, Pegawai Daerah Kluang Muhamad Fuad Radzuan dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kluang Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Lionel turut bercadang melangsungkan majlis perkahwinan tiga lagi anaknya dengan cara yang sama kerana baginya tiada sebarang masalah kepada keluarganya walaupun berbeza dengan adat resam keturunan mereka.
“Bagi saya, apa yang penting kepuasan dapat melihat anak saya mengecapi hari bahagia dengan sejarah hidup tersendiri sebagai kenangan yang boleh dikongsi bersama anak cucu kemudian hari,” katanya.
Sementara itu, Zainani berkata, kesanggupan untuk membantu pasangan berkenaan melangsungkan majlis perkahwinan mengikut adat resam dan tradisi orang Melayu diterima sebagai satu cabaran kepada pertubuhan mereka.
“Semua yang dirancang berjalan lancar, malah sahabat handai kepada Datuk Lionel dan isteri memberikan pujian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108338?m=1#sthash.hMfG5X4g.dpuf

No comments:

Post a Comment