Friday 29 January 2016

“Ini menyebabkan mereka muak, letih dan boring dengan politik dan menghasilkan sindrom yang saya namakan ‘sindrom fatiq’,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar.
“Inilah yang berlaku kepada rakyat khasnya di Kedah sekarang selepas dihidangkan dengan pertelingkahan politik yang terlalu panjang dan sekarang datang lagi. Ekoran sindrom ini, saya rasa Barisan Nasional (BN) akan terus mengekalkan kuasanya pada pilihan raya umum akan datang.
“Ini kerana ramai yang sudah alami sindrom fatiq dan mengambil sikap lantaklah dengan apa yang berlaku sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Hisomuddin baru pulang dari Kedah selepas 2 hari berada di sana bagi mengkaji apa yang berlaku ekoran usaha pemimpin Umno Kedah mahu menyingkirkan Pengerusi Perhubungan Negeri Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan menteri besar.
Mukhriz menjadi menteri besar selepas BN merampas semula Kedah daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Beliau bukanlah menteri besar Kedah pertama yang disingkirkan kerana krisis dalaman Umno.
Pada 1996, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Osman Aroff digantikan dengan Tan Sri Sanusi Junid. Langkah itu dilakukan perdana menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa persetujuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah.
Mukhriz juga mengambil alih kerajaan negeri daripada kerajaan negeri PAS yang bermasalah. Terdapat pertembungan dalaman parti Islam itu menyebabkan pergaduhan secara terbuka beberapa exco PAS dengan menteri besar pada ketika itu, Tan Sri Azizan Razak.
Ia menyebabkan PAS yang merupakan sebahagian daripada gabungan pembangkang Pakatan Rakyat, tewas kepada BN pada PRU13 selepas merampas negeri itu pada 2008.
Faktor ekonomi
Pertelingkahan politik ini menyebabkan keperluan rakyat tidak terbela sedangkan mereka memerlukan sokongan, bantuan dan fokus kerajaan ekoran kenaikan kos harga barangan dan perkhidmatan ketika harga komoditi yang mereka hasilkan jatuh merudum, kata Hisomuddin.
Bekas selebriti PAS, Sulaiman Ibrahim atau dikenali dengan “Leman Raja Lawan” yang mengetuai parti serpihan Parti Amanah Negara (Amanah) Sik berkata keluarga miskin di kawasan itu kekurangan makanan.
Beliau mendedahkan, sejak 5 bulan lalu Amanah Kedah mengenal pasti tidak kurang daripada 197 keluarga miskin tegar di Sik yang hidup dalam keadaan serba daif dan kekurangan makanan.
“Sik ini kawasan pedalaman di Kedah yang ramai orang miskin. Di sini rakyat tidak cukup makan.
“Saya ronda dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeniri ke DUN Belantik, ada kedai runcit kalau kita minta buku hutang, penuh buku hutang itu. Rakyat tiada duit, terpaksa berhutang,” katanya dan menambah murid sekolah tidak mampu membayar yuran.
“Ada penoreh getah yang dapat RM1.70 sekilogram getah sekerap kena bahagi dua dengan pemilik kebun getah. Seminggu dapat 80 kg, RM36 saja.
“Nak makan apa dengan nilai itu sekarang? Susu anak RM28. Beras RM26. Nak buat rumah, beli bata fikir dulu, baik beli susu anak daripada beli bata,” kata Sulaiman.
Gangguan
Langkah menggantikan Mukhriz juga mengganggu rancangan kerajaan negeri, kata Ketua Umno Cawangan Padang Sera Abu Nayan, 54.
Katanya, langkah menukar menteri besar baharu mengganggu perancangan setahun yang dibuat kerajaan Kedah dan menyebabkan beberapa projek serta aktiviti akan terbantut.
“Bajet sudah lulus dan program untuk setahun juga sudah disusun untuk dilaksanakan.
“Langkah menukar menteri besar baharu ini akan menyebabkan banyak projek dan program yang dirancang tertangguh,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Antara projek besar yang sedang disusun ialah pelaburan di Kuala Kedah, di mana beberapa pelabur dari China sudah menyatakan komitmen.
Katanya, terdapat juga program lain yang tertumpu kepada kebajikan rakyat akan terganggu.
“Sekurang-kurangnya bagi habis penggal dulu, bagi selesai semua perancangan yang dibuat Mukhriz.
“Kalau masuk menteri besar baharu, saya bimbang akan berlaku lebih kacau dan pelaksanaan semua projek tidak akan dapat berjalan dengan baik atau mungkin lewat,” katanya.
Membuat perbandingan semasa era pemerintahan PAS, beliau berkata semua perancangan pembangunan yang direncanakan Azizan berjalan dengan baik kerana kekal memerintah walaupun wujud krisis sesama pimpinan negeri.
Azizan berjaya menghabiskan pentadbirannya selama sepenggal dan meninggal dunia selepas kerajaan negeri pimpinan PAS kalah kepada BN pada PRU13. Azizan meninggal dunia pada September 2013.
“Walaupun Azizan ditentang pimpinan negeri, beliau masih lagi menjadi menteri besar dan menghabiskan penggalnya.
“Kita lihat pembangunan yang dibawa memberikan impak baik kepada negeri. Kita lihat seperti projek Aman Mall, kemudian pembinaan jalan raya dan jambatan, semua disiapkan dan berjalan dengan baik. Jika Mukhriz dibuang, bagaimana kita nak lihat pembangunan itu?”
Mukhriz popular di kalangan orang muda
Langkah menyingkirkan Mukhriz mungkin akan menyebabkan kerajaan negeri kehilangan sokongan orang muda.
Setiausaha Pertubuhan Amanah Sejahtera Malaysia (PASma) Taib Ahmad, 55, berkata, Mukhriz mendapat sokongan ramai orang muda di Kedah selepas menjadi menteri besar.
“Peminat bola misalnya menjadikan Mukhriz idola mereka kerana banyak yang dibuatnya untuk bola sepak di Kedah selepas menjadi menteri besar sehingga pasukan hijau kuning kembali naik,” katanya.
Taib berkata, bukti sokongan ditunjukkan ketika Mukhriz cuba dijatuhkan. Majlis perhimpunan menyokong Mukhriz dan majlis baca Yasin di masjid dan surau seluruh Kedah penuh dengan orang muda.
Pegawai kerajaan negeri Kedah, Hazmi Halim, 31, berkata banyak program yang dirancang pentadbiran Mukhriz melibatkan golongan muda, seperti expo kerjaya dan aktiviti riadah lain serta pembangunan insaniah seperti sekolah pondok dan lain-lain akan terjejas jika berlaku peralihan kuasa.
“Mukhriz seorang yang memahami golongan muda dan dekat dengan mereka, berbeza dengan calon penggantinya ini semua tidak digemari dan rapat dengan anak muda.
“Jika ini situasinya, bagaimana mahu anak muda dekat dengan kerajaan?
Beliau juga tidak melihat Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dapat memenuhi cita rasa dan memahami pengundi muda.
Ahmad mengetuai gerakan untuk menggulingkan Mukhriz dan dinamakan sebagai salah seorang calon menteri besar.
“Sepanjang Bashah jadi pengerusi perhubungan, apa yang dia lakukan untuk dekat dengan anak muda?” soalnya.

No comments:

Post a Comment