Wednesday 20 January 2016

Sememangnya malam semalam melakar 'sejarah' buat kumpulan rock terkenal Wings apabila mereka menyampaikan 33 buah lagu sempena sambutan ke-30 tahun penubuhannya.
Dan konsert itu berakhir kira-kira jam 3 pagi.
Bertempat di Stadium Merdeka, hujan tidak menghalang peminat untuk terus setia menghayati lagu demi lagu dipersembahkan dalam konsert Wings 30 Tahun.
Cuaca mungkin tidak seperti diramalkan dan menyebabkan masalah teknikal hingga melewatkan persembahan selama sejam.
Dan peminat setia kumpulan rock itu yang menunggu penuh sabar, ganjarannya adalah persembahan mantap dan bertenaga bukan saja daripada Wings, malahan rakan-rakan yang turut memberi sokongan.
Banyak dugaan
Menurut vokalis Wings, Awie, sambutan daripada penonton di luar jangkaannya, sekaligus membuat mereka terharu.

“Dari atas pentas tadi saya sebak, macam tak percaya dengan kehadiran penonton yang ramai pada malam ini (malam tadi).
“Alhamdulillah rancangan yang kami impikan dapat direalisasikan, selain dikurniakan tenaga, kesihatan dan diberi sambutan yang baik.
“Kami masih boleh menunggang motor walaupun berhujan dan berpanas (pada sebelah siang). Jadi, apalah sangat hujan yang sedikit tadi," katanya kepada Malaysiakini.
Sebenarnya, menurut Awie, konsert malam tadi bukanlah kali pertama peminat mereka terpaksa berhujan.
Sebelum ini, katanya, ketika mengadakan konsert di Kelantan 'dugaan' cuaca juga berlaku - malah lebih serius.
Dari hari pertama mereka tidak dapat membuat persembahan dan berlanjutan hingga ke hari kedua.
"Kami hanya sempat menyampaikan sebuah lagu saja," katanya.
“Wings mengucapkan terima kasih dan jasa sokongan peminat memang tidak dapat dibalas.
"Apa yang kami mampu buat adalah berikan yang terbaik,” katanya.
Rock tetap rock
Sementara itu, seorang daripada penonton yang hadir malam tadi adalah peminat istimewa Wings, Shahrol Nizam Mat Tajuddin
Shahrol Nizam, 28, mungkin 'berbeza' daripada orang lain kerana kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan pada tahun 2000.
Namun, keadaan itu sama sekali tidak menjadi penghalang untuk menghadiri konsert berkenaan.
Cerita Shahrol Nizam, dia mendapat ‘rezeki terpijak’ sewaktu pergi ke kedai Red Chair milik Awie di Danau Kota.
“Semasa di tempat itu, saya memberitahu Awie tentang keadaan ekonomi yang menghimpit saya dan Awie terus memberikan tiket percuma.
“Rasanya sifat pemurah begini jarang ada pada artis lain,” katanya.
Bagi Zanita Kamaruddin, 49, dia hadir bersama dua anak saudaranya Muhd Zulhiqal, 10, dan Muhd Zulhafiz, 11.
Katanya, konsert Wings malam tadi adalah yang kedua dihadirinya selepas Takkan Melayu Hilang Di Dunia di Istana Budaya.
"Saya meminati Wings sejak 1980-an dan lagu paling diminati ialah Taman Rasyidah Utama," katanya.
Jika ke karaoke, cerita Zanita, lagu Wings memang tidak pernah dilupakan.
Mengenai lokasi persembahan, Zanita berkata, pada masa depan mungkin Wings perlu memilih tempat tertutup bagi mengelak gangguan seperti hujan.
"Nanti kalau ada konsert lagi, saya akan tetap datang walaupun usia semakin meningkat, kerana rock tetap rock," katanya.

No comments:

Post a Comment