MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui walaupun ibu tunggal ini sibuk dengan urusan perniagaannya, namun pelakon komedi Aliza Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Enot ini sudah dua tahun menderita kanser usus tahap dua.

Menurut Enot, dia juga tidak menyedari sebelum ini dia mengalami penyakit ini sehinggalah dia mengalami pendarahan semasa membuang air besar.

“Dah setahun saya menghidap penyakit ini. Doktor cadangkan buat pembedahan memandangkan ia baharu tahap dua. Tapi bila saya mengenangkan ramai ahli keluarga saya meninggal dunia kerana rawatan kemoterapi, jadi saya mengambil keputusan menjalani rawatan pengubatan kampung saja.

“Tapi saya masih dapatkan nasihat doktor dan makan ubat hospital juga. Alhamdulillah keadaan saya sekarang bertambah baik dan saya dapat teruskan rutin macam biasa,” kata Enot.

Menurut Enot, apa yang lebih menyedihkannya, selama setahun juga dia terbeban kerana tiada sumber pendapatan tetap dan tiada tawaran lakonan untuk membiayai perubatan bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anaknya.

“Hanya baru-baru ini saja, saya diberikan tawaran lakonan untuk telemovie raya di TV3. Kehidupan saya sekarang tidak mewah. Kami anak beranak sangat berjimat cermat. Tapi Alhamdulillah, kami dapat teruskan kehidupan seperti biasa.

“Bagi saya, anak-anaklah kekuatan saya. Mereka sangat memahami dan sangat peduli tentang kesihatan saya. Mereka takut saya pengsan akibat terlalu letih,” katanya yang turut menjalankan perusahaan jualan biskut buatannya, Enot Cookies and Cake, menerusi online.

Ditanya mengenai kehidupannya yang kembali solo, Enot mengakui lebih mudah menguruskan keluarga.

“Dulu pun sayalah sebagai 'kepala keluarga' yang memberi nafkah dan jaga kebajikan keluarga. Kini, bila kembali solo, semua urusan jadi lebih mudah,” ujarnya.

Sebelum ini, Enot pernah berkahwin sebanyak dua kali. Hasil perkongsian hidup bersama suami pertamanya, Enot dikurniakan dua anak perempuan, Adnriana Balqis, 13 dan Ariana Qaseh Qistina, 7.

Sementara itu, Enot juga seorang daripada 50 selebriti yang bakal menyertai Mega Bazar Usahawan Melayu Online Terbesar di Malaysia 2014, yang berlangsung pada 21 dan 22 Jun depan bertempat Hall A, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).