KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri membekukan cuti semua pegawai dan anggotanya untuk memberi tumpuan memadamkan kebakaran hutan dan belukar yang kerap berlaku.

Antara kawasan hutan yang terbakar sejak dua minggu lalu ialah hutan berdekatan Perindustrian Gebeng dan Penor di Kuantan serta beberapa lokasi di Rompin.

Timbalan Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, sehingga kini jumlah anggota mencukupi dan belum ada tambahan dari negeri lain selain situasi sama turut berlaku.

Menurutnya, usaha memadam kebakaran kini berjalan lancar dan semua anggota bertugas selama 24 jam bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

“Semua anggota kini menumpukan pada aktiviti pemadaman dan bertugas sepanjang hari bagi mengelakkan kebakaran merebak,” katanya.

Kelmarin, sebanyak sembilan kenderaan termasuk dua lori berlanggar antara satu sama lain akibat asap tebal berikutan kebakaran hutan paya gambut di Jalan Kuantan-Pekan berdekatan Penjara Penor di sini.

Mengulas mengenai kejadian di Penor yang mengakibatkan kemalangan sembilan kenderaan, Nazili berkata, kebakaran hutan paya gambut seluas 16 hektar itu berlaku sejak lebih seminggu lalu.

Katanya, asap tebal menyebabkan jarak penglihatan hanya lima meter sahaja tetapi anggota bomba bekerja keras memastikan kawasan itu selamat dilalui dalam tempoh terdekat.

Nazili berkata, bomba berjaya memadamkan api tetapi cuaca terlalu kering dan menggalakkan kepanasan pembentukan asap kerana tanah gambut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan lebih banyak bencana dalam keadaan panas melampau.

Kira-kira jam 5 petang semalam, kebakaran menyebabkan jarak penglihatan pemandu kenderaan terhad sehingga lima sahaja yang menyebabkan kemalangan  sembilan kenderaan di Jalan Kuantan-Penor.

Sementara itu, Jurucakap polis berkata, laluan Jalan Kuantan -Penor akan ditutup kepada kenderaan bergantung pada keadaan asap dan jarak penglihatan kerana keadaan kebakaran yang masih belum padam sepenuhnya.

“Laluan itu dibuka sekejap-sekejap bergantung pada asap kebakaran dan jarak penglihatan laluan turut dilencongkan ke Jalan Pantai Sepat untuk mereka yang menuju ke Pekan,” katanya.