PADANG RENGAS - Sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Ati, di sini, hampir musnah dalam kebakaran malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.46 malam itu, rumah kosong yang dipercayai ditinggalkan itu musnah dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Saksi enggan namanya disiarkan berkata, dia ternampak kepulan asap dan api keluar dari rumah berkenaan dan segera menghubungi anggota bomba.

"Api marak dengan cepat, berikutan rumah itu dibina dengan menggunakan kayu.

“Bila bomba sampai, rumah tersebut hampir musnah sepenuhnya. Dengan kepantasan anggota bomba api dapat dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Kuala Kangsar, Ismail Darus mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba Kuala Kangsar dan Taiping yang membawa 19 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Kita menerima panggilan pada jam 9.46 malam dan sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah marak dan rumah tersebut hampir musnah.

“Anggota berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan lain. Operasi tamat pada jam 11.19 malam.

“Berdasarkan keadaan rumah, ia mungkin sudah lama ditinggalkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.