Ketika Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengadakan taklimat mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Universiti Sains Malaysia (USM), kira-kira 30 orang telah mengadakan protes secara aman membantahnya di luar universiti itu.
Mereka yang terdiri daripada wakil kumpulan pelajar, parti politik dan NGO berkumpul untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap TPPA di pintu Sungai Dua USM.
Protes ringkas itu, bermula jam 11.30 pagi dan berakhir sekitar 11.53 pagi manakala hadirin di Dewan Syed Putra - di mana taklimat itu diadakan - sedang disajikan dengan tayangan filem pro-Umno 'Hati Malaya' oleh pengarah dan penerbit Suhaimi Baba, sebelum ketibaan Mustapa di tempat tersebut.
Peserta protes itu memegang sepanduk, antaranya berbunyi 'Mahasiswa Tolak TPPA', 'Malaysia not for sale', 'People Before Profit, 'Don't Trade Away Our Lives'.
Turut hadir di protes tersebut - yang dimulakan dengan pelajar USM Lee Chung Lun membaca kenyataan menolak TPPA - adalah jurucakap Ikatan Mahasiswa Jefry Musa, ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon, S Mageswari dari Persatuan Pengguna PPulau Pinang, Anil Netto dari Aliran, Nur Fitri Amir dari Bantah TPPA, dan wakil-wakil dari Parti Amanah Negara dan Pemuda PKR.
Jefry (foto) mempersoalkan mengapa kerajaan enggan berbincang dan berunding dengan orang yang betul tentang TPPA.
Selain itu, Nur Fitri pula menegaskan bahawa perjanjian itu menjaga kepentingan korporat lebih daripada kepentingan awam.
Mageswari (foto) dan Choo Chon Kai dari Parti Sosialis Malaysia bersetuju bahawa TPPA adalah satu bentuk penjajahan baru.
Choo mendakwa negara sedang dipaksa untuk menandatangani perjanjian itu, yang menurutnya "tidak adil kepada rakyat."
Beliau menggesa rakyat Malaysia menghadiri perhimpunan besar-besaran membantah TPPA di Kuala Lumpur pada 23 Januari
Sementara itu, protes itu sedikit terganggu oleh wakil Gabung Perwakilan Melayu Pulau Pinang, Ridzuan Mohd Azuddin, yang cuba untuk mengemukakan soalan kepada peserta protes itu.
Bagaimanapun, kumpulan itu memintanya membenarkan mereka meneruskan bantahan mereka, dan "menghormati aktiviti mereka".
Ridzuan (foto) kemudian memberitahu media bahawa mesti ada "tangan tersembunyi" di belakang kumpulan itu.
Jika tidak, katanya, mereka hanya perlu mendengar penjelasan Mustapa dan bertanya soalan secara inteleklual semasa sesi taklimat itu.
No comments:
Post a Comment