Tuesday, 2 December 2014

KUCHING, Isnin – Sarawak kini dalam persiapan untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan Paralimpik dan Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2016 terutamanya dalam menyediakan kemudahan mesra pengguna kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata, cabaran utama negeri ini adalah menyediakan kemudahan mesra OKU seperti tempat penginapan dan pengangkutan. "Kemudahan mobiliti di Sarawak masih di tahap belum memuaskan terutamanya kepada golongan OKU yang menggunakan kerusi roda kerana jarak dari sesebuah kawasan agak jauh.
"Justeru, kita akan pastikan kemudahan untuk golongan OKU yang menyertai sukan paralimpik nanti disiapkan dalam masa dua tahun," katanya. Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak dan beberapa agensi terlibat di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini. Jelas Fatimah, kerja-kerja menaik taraf beberapa lokasi acara sukan termasuk Stadium Negeri sedang dilaksanakan mengikut Ordinan Kerajaan Tempatan.
"Pada mulanya saya khuatir kerana kemudahan di negeri ini tidak mencukupi terhadap golongan OKU. "Namun, saya juga melihat ini merupakan satu peluang untuk kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas kepada OKU apabila menjadi tuan rumah," jelasnya. Beliau turut berkata, sembilan acara sukan akan dipertandingan dan tiada had umur dikenakan terhadap OKU yang ingin mengambil bahagian. "Kita ingin memberi peluang yang seluasnya kepada golongan OKU untuk menceburi bidang sukan selain memupuk minat serta keupayaan mereka.
"Oleh itu, saya berharap agensi terlibat termasuk dari sektor swasta memberikan kerjasama yang sewajarnya semasa sukan paralimpik ini berlangsung nanti dan kita juga memerlukan golongan sukarelawan tampil untuk menghulurkan bantuan," ujarnya. Katanya, sokongan dan sumbangan dari para penaja amat diperlukan dalam menjayakan sukan itu kelak. Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS), Abang Shamsudin Abang Seruji, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Haji Abd Haris Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr. Ong Kong Swee serta Timbalan Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU Negeri Sarawak, Adjohari Haji Jamil.

No comments:

Post a Comment