KUALA LUMPUR - Celcom Axiata Bhd mengunjurkan jumlah transaksi tambah nilai prabayar seharinya meningkat antara lima dan enam peratus hasil perjanjian usaha sama baharu dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shazalli Ramly berkata perjanjian itu menyediakan lokasi yang lebih banyak kepada pelanggan Celcom untuk menambah nilai prabayar menerusi rangkaian ejen perbankan berdaftar (EBB) BNS di seluruh negara.
  
"Menerusi 4,209 premis EEB BSN terpilih di seluruh negara, kekerapan menambah nilai akan meningkat, terutama di kawasan yang jauh," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian itu di sini hari ini.
  
Shazalli berkata sejumlah 600,000 transaksi tambah nilai dilakukan sehari dengan jumlah purata sehingga RM13,000.
  
Perkhidmatan baharu itu, yang memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar, ditawarkan menerusi terminal Pusat Jualan BSN yang membolehkan transaksi digital sepenuhnya tanpa perlu stok fizikal.
  
Transaksi yang dilakukan menerusi saluran ini terjamin dan perkhidmatan Celcom M2M ini tidak dikenakan kos tambahan.
  
Semua jenama prabayar Celcom boleh ditambah nilai di EBB BNS, termasuk   Celcom First, Xpax, U.O.X, S.O.X, Celcom Frenz dan jalur lebar Instanet.
  
Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata perkhidmatan baharu itu akan memberi manfaat kepada pelanggan kedua-dua syarikat.
  
Menerusi perjanjian itu, EBB BSN kini menawarkan enam jenis perkhidmatan yang meliputi pembayaran bil, deposit tunai, pengeluaran tunai, simpanan SSPN, pembayaran tanpa tunai dan yang terbaharu, menambah nilai mudah alih, katanya.
  
Abu Bakar berkata 4,209 EBB BSN mencatatkan lebih 7.9 juta transaksi berjumlah RM705 juta setakat 30 Julai, 2013.
  
Bank itu menyasarkan menambah 5,000 EBB lagi menjelang akhir tahun, katanya.  - Bernama