CELCOM Axiata Bhd (Celcom) mencatatkan peningkatan perolehan 16 peratus dalam segmen datanya kepada RM368 juta bagi suku pertama tahun ini, sekali gus menyumbangkan 19.3 peratus kepada keseluruhan perolehan syarikat bagi tempoh itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, peningkatan itu didorong oleh pengembangan pengguna telefon pintar sebanyak 51 peratus kepada 4.65 juta akaun pelanggan.

“Peningkatan itu dapat dicapai menerusi pengenalan pelan data menarik dan inovatif.

“Jumlah pelanggan Celcom turut meningkat dua peratus kepada 13.3 juta sehingga suku pertama tahun ini,” katanya selepas pengumuman keputusan kewangan Celcom bagi suku pertama 2014 di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Shazalli berkata, Celcom mencatatkan penurunan perolehan sebanyak 3.6 peratus kepada RM1.91 bilion bagi suku pertama 2014 berbanding suku sama tahun lalu.

Penurunan itu disebabkan perolehan Universal Service Provision (USP) rendah dan musim perayaan yang menyebabkan jualan peranti rendah.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan Celcom bagi suku pertama pula RM839 juta manakala keuntungan selepas cukai meningkat 0.2 peratus kepada RM515 juta.

Mengulas berhubung Evolusi Jangka Panjang (LTE) Shazalli berkata, syarikatnya telah memperuntukkan RM400 juta tahun ini untuk tujuan penambahbaikan kualiti dan prestasi LTE di seluruh negara.

“Kami sudah memasang 1,093 tapak LTE dan 809 sudah beroperasi manakala 105 tapak lagi dalam proses kelulusan kualiti mengikut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Shazalli berkata, Celcom menyasarkan untuk menggunakan 2,014 tapak LTE yang aktif di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.