GEORGETOWN - Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang kedua di Kedah tidak sesuai dari segi ekonomi atau mempunyai justifikasi, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau berkata cadangan untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim menimbulkan banyak persoalan memandangkan lokasinya begitu hampir dengan Pulau Pinang.

"Perlu diingat bahawa Pulau Pinang adalah penerima terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia.

Kedudukan Kedah begitu jauh dari segi FDI," katanya ketika mengulas cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim, di sini hari ini.

Guan Eng berkata Pulau Pinang juga mempunyai hubungan dan rangkaian antarabangsa.

Pada masa ini terdapat dua lapangan terbang di Kedah iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata kerajaan negeri menghulur sumbangan RM20,000 kepada ibu mendiang Teoh Cheng Cheng untuk menjaga kebajikan anak-anaknya.

Semalam Mahkamah Syariah memutuskan bahawa Teoh, 38, yang maut selepas terjatuh dari apartmentnya Sabtu lepas, bukan beragama Islam dan membenarkan keluarga mendiang mengebumikan mayatnya mengikut upacara Buddha. - Bernama