MELAKA - Sejumlah 7,900 daripada 8,750 kuota perjawatan pelbagai pangkat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diisi di 72 cawangan jabatan itu di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad.

Beliau berkata baki kuota perjawatan itu akan diisi JPJ dalam masa terdekat selaras dengan hasrat memenuhi keperluan semasa pengguna kenderaan yang semakin bertambah.

Katanya JPJ memerlukan antara 20 dan 30 anggota untuk ditempatkan di sesebuah cawangan bagi memastikan kelancaran sistem perkhidmatan dan penyampaian jabatan itu kepada pengguna. 

"Apabila negara berkembang pesat bilangan kenderaan bertambah sehingga 1.5 juta setahun, bilangan pemandu baharu turut bertambah menjadikan bilangan urus niaga turut meningkat," katanya dalam sidang akhbar di Akademi Pengangkutan Jalan Tiang Dua hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Penolong Pegawai Penguat Kuasa (PPP)dan Kursus Asas Pemeriksa Kereta Motor (PKM) di sini.

Ismail juga berkata JPJ akan membuka cawangan baharu di Cameron Highlands, Pahang dan Baling, Kedah tahun depan.

Pembukaan cawangan itu bertujuan memastikan pengguna kenderaan di kawasan berkenaan dapat menggunakan perkhidmatan JPJ dengan mudah dan cepat.

"Bilangan penduduk di kawasan itu semakin meningkat, contohnya sekarang ini penduduk di Cameron Highlands terpaksa turun ke Ipoh dan Tapah untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ seperti memperbaharui lesen dan cukai jalan," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata sistem pengkomputeran baharu mySIKAP yang digunakan jabatan itu sejak 1 Nov lepas masih dalam proses pembangunan dan pihaknya akan memastikan sistem itu stabil digunakan dalam tempoh dua tahun.

"Ia adalah proses penambahbaikan berterusan kerana turut melibatkan pengujian, projek perintis bagi produk yang hendak dibangunkan melalui sistem itu, walaupun ada gangguan namun masih mampu ditangani dan aduan penggunaannya juga semakin berkurangan," katanya.

Mengulas mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), beliau berkata JPJ hanya akan terlibat dalam urusan menyenarai hitam, penggantungan dan pembatalan lesen pesalah sebaik kerajaan mengambil alih pengurusan sistem berkenaan. - Bernama