KUANTAN - Polis telah mengenal pasti suspek yang disyaki terlibat dengan kes seorang pemandu lori yang ditemui mati dalam semak di tepi jalan berhampiran Kilometer 21 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin lewat petang Sabtu lepas.
  
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, polis kini menjalankan operasi bagi memburu suspek yang dipercayai lebih daripada seorang.

"Polis juga telah berjaya mengesan lori mangsa yang dilarikan melalui sistem penentu kedudukan global (GPS), yang ditinggalkan di tepi jalan dekat Linggi, Negeri Sembilan petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Polis juga, katanya masih menyiasat motif sebenar kematian mangsa sama ada disebablan samun atau sebab lain.
  
Beliau berkata, jenazah mangsa yang sudah berkahwin serta mempunyai enam orang anak juga sudah dituntut untuk dikebumikan.

Mangsa yang menetap di Taman Ria Jementah, Segamat itu ditemui mati oleh orang awam pada pukul 7.24 malam.
  
Pemeriksaan pada mayat mendapati terdapat kesan kecederaan di belakang kepala sebelah kiri serta jari telunjuk kanan mangsa dengan sebatang rotan turut ditemui di tempat kejadian.  - Bernama