KUCHING - Sebanyak 23,379 MyKad, MyKid dan sijil kelahiran belum dituntut di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh Sarawak sejak 2011 hingga hari ini.
 
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, jika dokumen pengenalan diri itu tidak dituntut, kerajaan akan menanggung kerugian berjumlah RM888,402 kerana kos menghasilkan setiap satunya ialah kira-kira RM38.
 
"Kita meminta kerjasama orang ramai yang telah memohon supaya memeriksa dengan pejabat JPN terdekat bagi mengetahui status kad pengenalan masing-masing," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Sasar Pembasmian Kemiskinan Peringkat Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
 
Kerajaan memahami terdapat pelbagai sebab dokumen pengenalan diri terbabit tidak dituntut seperti kesibukan pemohon, berpindah ke lokasi lain dan dokumen sedia ada masih elok, katanya.
 
Bagaimanapun Fatimah berkata, apabila permohonan sudah dibuat pemohon mempunyai tanggungjawab untuk menuntutnya. - Bernama