KUALA LUMPUR - Seorang penyelia tapak pembinaan menangis teresak-esak sejurus mahkamah sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadapnya atas kesalahan menghantar komen jelik di Facebook berhubung sambutan Hari Raya Aidilfitri, tiga bulan lalu.

Hakim Azman Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mun Fai, 36, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet iaitu Facebook dan menghantar komen bersifat jelik di https://www.facebook.com/cpm/chow.jack.982 dengan niat menyakitkan orang lain.

Mun Fai didakwa melakukan perbuatan itu di Pentas Seni Kuala Lumpur, Sentul Park, di sini jam 10.30 pagi, 12 Jun 2014.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Ketika membuat keputusan itu, Azman berkata, pengakuan salah tertuduh tidak boleh diambil kira untuk menjatuhkan hukuman ringan kerana mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

“Hukuman yang dijatuhkan diharap memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak menggunakan kemudahan internet untuk menyiarkan kata-kata bersifat jelik yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain,” katanya.